Kenangan Ramadhan
Bismillahirrohmanirrohim.. Syukur ke hadrat Ilahi kita masih diberi kesempatan untuk bangun dan menempuh Ramadhan untuk sekian kalinya. Alhamdulillah, sudah pun masuk hari ke lapan kita berpuasa. Subhanallah.
Bercakap pasal kenangan Ramadhan, terus teringatkan lagu klasik ni. Selalu terdengar di radio di bulan puasa dulu.
Waktu-waktu begini, apa yang selalu singgah di minda ialah kenangan masa berpuasa dahulu. Rindunya dengan kampung halaman, kemeriahan Ramadhan di kampung disamping keluarga, Ayah dan Mak dan adik - beradik. Semuanya dah berubah.
Kali terakhir balik ke kampung sewaktu pilihanraya PRU14 yang lalu. Apa yang ku lihat, rumah kampungku sudah tenggelam di balik semak. Aku tak mampu nak masuk meninjau ke halaman yang sudah tidak nampak seperti halaman. Sedih. Setelah bertahun kutinggalkan rumah kenangan itu, hati sayu melihat rumah yang dahulunya bercahaya, penuh gelak tawa, dan suka-duka. Kini tinggal sepi dibalik semak dan pepohon yang tumbuh menumpang. Namun, apakan daya, aku tak mampu nak jaga rumah peninggalan itu.
Sewaktu pulang tempohari aku cuma sempat menziarahi rumah abadi Ayah di tanah wakaf, di belakang sekolah tempat ku mengundi. Kemudian terus kami pulang ke KL untuk mengelakkan jammed.
Kalau nak diingatkan memang boleh menitis air mata dek kerana rindunya kenangan lama. Masa sekolah rendah, berkayuh basikal pun lambat-lambat sebab tak nak rasa penat. Dua-tiga kali mandi siang, kalau hari biasa nak mandi pun malas. Bulan Ramadhan selalunya lepas waktu sekolah kami tak main macam selalu tapi ada kalanya main jugak (tak makan saman betul), main aci tiang, sembunyi-sembunyi, seremban, nama-negeri, tembak tutup botol dan lain-lain yang kurang memerlukan tenaga. Balik sekolah je dah tak sabar nak berbuka. Tiada yang mewah dalam hidangan berbuka kami. Apa adanya saja, tapi wajib kena ada buah tembikai. Ayah memang akan usahakan untuk kami. Lauk takda tak mengapa, asalkan tembikai ada. Allahuakbar, moga Allah tempatkan Ayah di tempat orang-orang yang soleh atas jasanya yang tak terbalas membesarkan kami sebaik mungkin.
Malam Ramadhan ikut mak jalan kaki pergi masjid untuk Solat Terawih, dah besar sikit ayah bagi aku bawak motosikal. Manakala Ayah lebih suka mengayuh basikal ke masjid. Kalau hujan, kami berterawih di rumah saja diimamkan ayah. Rindunya nak dengar bacaan Ayah.
Semakin membesar, semakin aku faham akan hikmahnya puasa. Bukan setakat menahan makan dan minum di siang hari. Perlu menjaga perilaku, lidah, pandangan mata dan membuat perkara-perkara sunah dan memperbanyakkan ibadah. Alangkah indahnya Ramadhan. Setiap tahun, pasti ada kenangan yang tercipta. Dan kalau boleh aku nak mati dalam bulan Ramadhan kerana keberkatannya. Aku sedar, telah banyak Ramadhan yang dibazirkan dahulu. Apa yang telah berlalu tidak dapat diputar semula. Jadi jangan sia-siakan Ramadhan yang baru bermula ini. Kita tak tahu bila masa kita tamat, bila kita akan pulang ke kampung abadi. Dan adakah tahun hadapan kita berjumpa lagi? Allahurabbi.
~ Selamat berbuka nanti ~

No comments:
Post a Comment