Assalamualaykum wbt dan salam sejahtera buat sahabat blogger. Mungkin juga ada yang datang dari TikTok sebab aku kongsikan blog ni di sana. Tapi cerita itu tak habis di situ sebab ada limit wordings, kena buat part-by-part. So, boleh baca kat sini ya.
Sesiapa pernah terbaca karyaku sebelum ini? Antaranya “Tiang Tanpa Seri,” “Pulut Kuning Untuk Siapa,” “Halalkan Mangga Yang Ku Curi”. Setakat ni baru 3 karya dah publish dahulu. Pernah juga ada publisher approach untuk dijadikan buku namun benda tu KIV setakat tu jer disebabkan COVID-19. Jadi, hari ni aku nak kongsikan satu lagi karya dah dah lama terperam oleh kerana tiada masa untuk menghabiskannya.
Kisah yang akan aku ceritakan ini mungkin kisahku sendiri, mungkin juga bukan. Cuma ku harapkan pembaca semua mengambil iktibar atas cerita ini. Cerita tetap juga cerita, mungkin ada yang benar dan ada yang ditokok tambah sebagai penambah perisa dan penyedap cerita. Namun, apa yang ingin ku ketengahkan adalah intipati dan pengajaran melalui cerita ini. Itu yang paling penting! Kita mungkin ada mengalami peristiwa misteri, samada ianya benar ataupun khayalan. Tetapi, aku ada suatu yang nak diceritakan..
Aku (adalah pencerita).
Hari itu cuaca mendung dari pagi hingga ke petang. Langit kelabu. Awan berkepul-kepul bergerak di tiup angin lantas membentuk titsan hujan menjadikan keadaan petang jam 5 itu seakan jam 7 malam. Rumah Tok Ma nampak gelap dari luar. Lampu tidak dinyalakan. Tok Ma duduk bersimpuh di kaki tangga melihat keindahan langit nak hujan ciptaan Tuhan. Biarpun kakinya basah oleh tempias hujan namun dia tidak bergerak menjauhi tempat duduknya. Leka dia termenung di situ.
Nasi sudah ditanak, ikan kembung sudah di masak singgang dan ulam bersambal tempoyak sudah siap dihidang di meja. Tok Ma hanya menunggu masa untuk berbuka sahaja. Tok Ma memang tinggal sendiri. Anak sulongnya sudah berkahwin dan tinggal bersama anak isteri di Kuala Lumpur. Manakala anak bongsu yang pada asalnya menuntut di luar negara terus menetap di sana sebaik habis belajar. Mereka belum pulang sekalipun ke kampung untuk berbuka puasa bersama ibu mereka. Tok Ma termenung sedih mengenangkan dirinya yang kesunyian. Punya anak dan cucu tapi tiada siapa pun yang pulang menemaninya. Menunggu hari raya barulah nampak kelibat anak-anaknya. Itupun sekejap cuma. Kadang-kala anak sulongnya cuma balik hari sahaja, tidak bermalam pun di rumahnya. Lain pula anak bongsunya yang gemar beraya di perantauan, di rumah rakan-rakan berbanding pulang ke kampung. Dia juga sudah punya keluarga angkat di Melbourne tempatnya melanjutkan pelajaran dan bekerja. Dan keluarga angkatnya sentiasa mengalu-alukan kedatangannya bercuti untuk di sana. Mungkin juga dia ingin terus bermaustautin di sana.
Orang kampung mula bercerita tentang anak-anaknya. Ada yang berkata anak-anak Tok Ma semuanya dah lupa daratan dan tak kenang jasa. Anak-anak Tok Ma semua sombong-sombong belaka. Orang-orang kampung yang kasihan melihat keadaan Tok Ma selalu juga datang menjengah. Membantu Tok Ma ke kedai membeli barang dapur, barang keperluan raya. Membawa Tok Ma ke klinik, menziarah Tok Ma jika Tok Ma kurang sihat dan menghulurkan pelbagai bantuan untuk Tok Ma yang tinggal sendiri. Orang kampung pelik kenapa anak-anak Tok Ma tidak mempedulikannya. Tok Ma bukan orang susah, tanahnya berelung-relung, hasil rumah sewanya tak habis makan. Tok Ma menggajikan orang-orang kampung untuk menjaga tanah, kebun dan rumah sewanya.
Tok Ma dikenali dengan sikapnya yang ramah dan suka membantu orang ramai. Tok Ma tak lokek wang ringgit. Dia selalu membantu orang-orang kampung yang susah. Kerana itu, orang kampung begitu mengambil berat akan dirinya. Dia juga terkenal dengan kebolehannya mengurut, urutan batin, urutan lepas bersalin, urutan patah dan macam-macam lagi urutan tradisional. Berbekalkan kemahirannya itulah yang membesarkan anak-anaknya sejak kematian suami kira-kira 20 tahun yang lalu. Kini dia sudah bersara, tapi masih ramai lagi yang perlukan bantuannya. Dia hidup dengan mengusahakan rumah sewa dan menggajikan orang kampung untuk bekerja di kebun-kebunnya. Itu sudah cukup membiayai hidupnya dan menghantar anaknya belajar hingga ke luar negara. Pendek kata anak-anak Tok Ma semua sudah berjaya, tetapi tiada seorang pun yang mempedulikan ibunya. Kasihan Tok Ma.
Di Kuala Lumpur, anak Tok Ma yang sulong, Azman mula merasa serba tak kena. Hidup berjauhan dengan ibunya tetap tidak memberikan keamanan buat dirinya. Hidupnya cuma aman tenteram sepanjang Ramadhan sahaja. Selebihnya penuh dengan gundah gulana. Perkara yang menghantui dirinya bermula kira-kira 20 tahun yang lalu.
Sewaktu itu Azman masih bersekolah menengah dan adik bongsunya Azwan pula bersekolah rendah, ayah mereka telah pulang ke rahmatullah kerana sakit misteri. Ayah mereka kerap batuk berdarah, sangkanya mungkin barah paru-baru kerana kuat merokok. Tetapi pemeriksaan kesihatan mengatakan sebaliknya. Ayahnya cuma terkena jangkitan kuman dan meninggal dunia secara mengejut di malam hari selepas batuk tak henti-henti dalam tempoh yang lama. Sejak itulah, ibu mereka Tok Ma mengambil alih tugas suaminya menyara anak-anak.
Maserah adalah nama penuh ibu mereka dan Tok Ma adalah panggilan mesra orang kampung padanya. Nama itu melekat sejak Tok Ma menjadi tukang urut professional di kampung itu. Sebut sahaja Tukang Urut Tok Ma, semua orang tahu perihal kehandalannya merawat sakit tulang dan urat sendi. Kadang-kala orang dari luar kampung turut datang untuk berubat dengan Tok Ma.
Azman menyaksikan sendiri peristiwa pelik jika Tok Ma ingin mengubat orang. Tok Ma seperti menjadi orang lain. Selalu juga ketika Tok Ma kurang sihat, demam dan terlantar, tiba-tiba Tok Ma menjadi bersemangat seakan sudah sihat bila terdengar ada orang minta diurut. Dari mana datangnya tenaga jika sebentar tadi Tok Ma terbaring lemah tak berdaya? Padahal Azman tahu urutan itu memerlukan tenaga yang kuat. Bukan sekali dua, tetapi sudah acap kali Azman menyaksikan peristiwa pelik itu. Bahkan Azman juga sudah menunjukkan bakat mengurutnya ketika Azman bertugas dalam pertubuhan unit beruniform Persatuan Bulan Sabit Merah yang dianggotainya di sekolah. Kerap juga cikgu dan rakan-rakan meminta bantuannya pada hari sukan jika ada yang tercedera, terkehel, terseliuh dan sebagainya. Mengenangkan hal itu, Azman jadi gusar. Dia sebolehnya tidak ingin menyambung ‘kerja-kerja’ ibunya.
Azman selalu didatangi mimpi seorang wanita tua yang memberikan bungkusan berwarna kuning padanya dan mimpi itu berakhir dengan jeritan wanita berwajah hodoh ketika Azman cuba membuka bungkusan itu. Kadang-kala wanita itu cuba mencekik dirinya saat dia ingin menyentuh bungkusan itu. Wanita itu seakan tidak mahu memberikan bungkusan itu pada Azman. Dia cuba ingin bercerita pada ibunya namun hajatnya tidak kesampaian bila tiap kali ingin membuka mulut, Azman melihat ada bayangan lain di wajah ibunya. Selalu dia terkejut dengan keadaan itu. Adik bongsunya ketika itu masih tidak mengerti apa-apa.
Hubungan mereka sekeluarga agak renggang. Anak bongsunya sejak bersekolah menengah menetap di asrama, begitu juga dengan anak sulongnya sudah meninggalkan kampung ketika melanjutkan pelajaran di universiti. Ibu mereka masih sibuk mencari nafkah sehingga kadang-kala di bawa orang mengurut sehingga ke luar daerah, ke negeri lain jika ada yang memerlukan. Tok Ma mempunyai pembantu yang menyusun jadual dan menjadi pemandu jika Tok Ma bertugas di luar daerah. Keadaan itu berlanjutan sehinggalah anak-anaknya dewasa.
Azan Maghrib telah berkumandang menandakan telah masuk waktu berbuka. Tok Ma menutup pintu rumah dan bergerak ke dapur untuk berbuka. Di bahagian belakang dapur rumahnya terdengar seperti cakaran-cakaran kuku mencakar dinding kayu dibalik dinding dapur. Tok Ma membiarkan sahaja seperti sudah lali dengan bunyi-bunyian itu.
Di luar negara Azwan hidup dengan cara barat, dia sudah tidak mempedulikan ibunya. Sedikit pun dia tidak menalifon ibunya. Dia juga punya teman wanita dan mereka tinggal bersama. Azwan juga selalu mengalami peristiwa pelik semasa masih tinggal dengan ibunya. Dia kerap dikejutkan di malam hari oleh ibunya yang tiba-tiba berubah menjadi wanita hodoh yang menakutkan. Bila diceritakan, Tok Ma tegas menyangkal dakwaannya dan berkata bahawa Azwan cuma berkhayal. Tok Ma juga tidak berkahwin lagi sejak kematian suami. Bukan tiada yang bertanya, namun Tok Ma lebih suka hidup sendiri dengan anak-anak.
Malam itu Tok Ma terasa seperti sesuatu akan berlaku padanya. Hatinya resah tak menentu. Terasa ingin menalifon anak-anak, namun hajatnya terhenti pabila mendengar ketukan di pintu. Hajar anak jirannya mengetuk pintu untuk mengajaknya sama-sama ke surau untuk Solat Tarawih. Itu sudah menjadi rutinnya semenjak dahulu, nasiblah ada jiran-jiran yang baik yang sering memantau keadaannya yang tinggal seorang diri. Pagi itu, ada sebuah kereta masuk ke halaman rumah Tok Ma. Hajar cepat-cepat memberitahu ibunya ketika dia lalu di hadapan rumah Tok Ma pagi tu. Pada hematnya mungkin anak Tok Ma pulang bercuti memandangkan sudah minggu terakhir puasa, barulah anak-anak Tok Ma dapat menemaninya berbuka puasa tahun ini.
Petang itu Azman dan keluarganya akan berbuka di luar memandangkan cuti hari minggu, isterinya mahu berehat dari menyediakan juadah berbuka seperti biasa. Sedang dia dan isterinya bersiap di bilik mereka, anak perempuannya yang berusia 6 tahun itu bermain sendirian di biliknya tiba-tiba datang padanya dengan menangis memberitahu ada seorang nenek menjengah dari luar tingkap biliknya menyebabkan dia terperanjat. Berderau darah Azman seketika. Dia dengan berhati-hati pergi meninjau bilik anaknya untuk memastikan apa yang diperkatakan anaknya itu tidak benar. Isterinya turut mengikut dari belakang. Setelah memastikan tiada apa di sana, dia menenangkan anaknya dan berkata mungkin anaknya cuma berkhayal. Masakan ada orang boleh menjengah ke tingkap bilik anaknya sedangkan bilik itu berada di tingkat atas rumah mereka. Untuk menjernihkan keadaan dan menyedapkan hatinya, dia cepat-cepat meminta isteri dan anaknya bergegas meninggalkan rumah untuk berbuka di luar sebelum jalan sesak.
Malam itu pula, Azwan bermimpikan ibunya dengan mimpi yang sukar untuk dimengertikan. Lantas dia terbangun dengan peluh di dahi walaupun suhu dalam biliknya sangat sejuk ketika itu. Dalam mimpinya dia dapat melihat dengan jelas ibunya datang dalam keaadaan yang compang-camping, dengan wajahnya kelihatan seperti cengkung dan penuh dengan darah dan ulat-ulat yang jatuh ke lantai setiap kali dia melangkah. Semakin dia lari semakin dekat ibunya menghampiri sehingga dia tersedar dari lenanya. Dia mengejutkan teman wanitanya yang tidur disebelahnya. Ini sudah masuk teman wanitanya yang ketiga, seorang warga Rusia. Dia kerap bertukar pasangan kerana kesemua mereka tidak tahan dengan tabiatnya yang kerap mengigau apabila tidur. Teman wanitanya yang tidur membelakanginya tidak bergerak walau sedikit pun setelah dibangunkan oleh Azwan. Dengan rasa sebal, Azwan mengambil telefon bimbitnya untuk menghubungi abangnya. Walaupun dia langsung tidak pulang ke kampung, dia masih menghubungi abangnya Azman melalui WhatsaApp dan email. Dia meninggalkan mesej supaya abangnya menghubunginya segera berikutan perbezaan masa antara dua negara.
Tiba-tiba dia merasakan ada pergerakan yang dilakukan oleh teman wanita disebelahnya. Dia memanggil nama wanita itu berulang kali tetapi wanita itu tidak menoleh malah bergerak-gerak seperti melakukan sesuatu membelakanginya. Azwan ingin bangun membuka lampu bilik namun badannya seadakan terkunci dari bergerak. Matanya memerhatikan perbuatan teman wanita disebelahnya dengan perasaan berdebar-debar. Tiba-tiba wanita itu menoleh dengan muka yang tak tumpah seperti wajah ibunya dalam mimpinya tadi. Bau hanyir menguasai bilik tidur itu. Dia yang tidak dapat bergerak, hanya berusaha menahan nafas apabila makhluk itu menghampirinya mendekati wajahnya. Azman dapat rasakan ulat-ulat yang memenuhi wajah makhluk itu jatuh ke atas badannya dan bergerak masuk ke setiap rongga badannya menyebabkan dia meronta-ronta. Makhluk itu hilang dari pandangan bila telefonnya berdering beberapa kali. Abangnya menelefon memberitahu suatu berita yang mengejutkan.
Azwan tiba di KLIA dan terus mendapatkan abangnya. Mereka berdua sudah sepakat untuk berangkat ke kampung dan menjenguk ibu mereka. Beberapa hari lagi, umat islam akan beraya dan kali ini mereka ingin memohon maaf dan beraya dengan ibu mereka. Mereka juga ingin mengambil kesempatan bertanyakan hal yang menjadi misteri di dalam kehidupan mereka setelah sekian lama.
Setibanya mereka di rumah Tok Ma, kawasan itu kelihatan sunyi dari biasa. Pintu dan tingkap tertutup rapi seperti tiada orang di rumah. Jiran-jiran pun tidak kelihatan di luar untuk bertanya. Mereka masuk ke rumah seperti biasa. Kunci pendua masih ada di atas pasu bunga yang tergantung di depan tangga rumah tradisional itu. Semenjak kecil, apabila ibunya keluar bekerja, Tok Ma akan meletakkan kunci rumah di dalam pasu yang sama. Bezanya cuma bunga dalam pasu itu sudah kering dan layu. Mungkin ibunya lupa menyiram bunga-bunga yang menghias halaman sekeliling rumahnya. Lalang juga tumbuh memenuhi laman diperhatikannya dengan sayu. Terbit rasa bersalah pada dirinya yang meninggalkan ibunya hidup seorang diri.
Azman, isteri dan dua anaknya serta Azwan membawa masuk beg-beg mereka ke dalam rumah. Mereka mencari-cari gerangan Tok Ma namun tidak berjumpa. Bilik tidur Tok Ma yang terletak di bahagian atas rumah juga terkunci rapi. Pada fikiran mereka, mungkin ibunya keluar seperti selalu. Lantas mereka pun cuba membuka tingkap dan mengemas sedikit rumah yang agak berdebu itu. Hari berlalu sehingga ke petang, Azman dan Azwan ingin ke pekan sebentar untuk membeli juadah berbuka kerana ibu mereka masih belum pulang. Dalam pada masa yang sama mereka ingin bertanyakan jiran-jiran akan keberadaan Tok Ma.
Tiba-tiba pintu bilik Tok Ma terbuka sendiri. Tok Ma keluar dari bilik diperhatikan oleh cucunya yang paling kecil berusia 11 bulan. Bayi itu ketawa seperti diagah seseorang menyebabkan isteri Azman terkejut. Dia tidak mendengar sebarang bunyi dari bilik Tok Ma sedari tadi, masakan dia tidak perasan bila Tok Ma pulang. Dia menolak perasaan itu lantas menghampiri Tok Ma dan bersalam dengannya. Menantunya itu merasa sangat bersalah kerana sebelum ini tidak pernah mengajak suaminya pulang menjenguk ibu mertuanya itu. Dia kemudiannya mengenalkan anak-anaknya kepada Tok Ma. Anak perempuannya kelihatan begitu mesra membuatkan dia memendam kegusaran hatinya sendiri. Malang bagi Azman dan Azwan mereka tidak sempat bertanya perihal ibu mereka kerena tidak terserempak dengan mana-mana jiran. Namun hati mereka terubat bila melihat Tok Ma duduk di dalam biliknya melayan dan cucu-cucunya bermain.
Azman dan Azwan cepat-cepat bersalaman dan memohon maaf atas ketelanjuran mereka menyisihkan ibu mereka dari hidup mereka sebelum ini. Tok Ma hanya tersenyum dan mengangguk-angguk perlahan. Tok Ma berkata inilah hari raya yang paling Tok Ma nantikan. Anak cucu kembali ke rumah, menerima dirinya dalam hidup mereka dan berjanji akan sentiasa berada di sisinya. Itu sudah cukup bagi Tok Ma.
Pada malam raya yang meriah itu, Azman dan Azwan sibuk di laman menyediakan api untuk memasak ketupat dan lemang. Menantu dan cucunya pula di dapur menyediakan rendang dan kuih raya. Tok Ma tidak kelihatan sedari tadi. Mungkin Tok Ma penat dan berehat di bilik sahaja. Mereka berjanji akan menjadikan raya pada tahun ini paling meriah untuk mereka. Rumah Tok Ma dihias lampu bermacam warna. Halaman rumah sudah menjadi rapi selepas Azwan menebas semak samun sekeliling rumah Tok Ma. Tiba-tiba Haji Suman, Imam kampung itu singgah di halaman.
"Assalamualaikum!" Haji Suman memberi salam serta mematikan motosikalnya.
"Waalaikumsalam!" Azman yang sibuk menghidupkan api untuk membakar lemang menjawap. Azwan yang ingin merebus ketupat datang menghampiri seraya menyambut tangan Haji Suman untuk bersalam.
"Alhamdulillah, balik juga kau orang ke sini." Haji Suman sedikit sebak pada suaranya.
"Ya Haji, kami dah sedar dan kami nak betulkan semua keadaan." Azman menjawap.
"Kalaulah Tok Ma masih ada, mesti dia gembira." Haji Suman berkata sambil mengelap air mata.
Azman dan Azwan berpandangan. Darah mereka berderau mendengar kata-kata Haji Suman.
"Apa maksud Haji? Kami tak faham." Azman dan Azwan berpandangan.
Dari halaman, Haji Suman melihat ke arah tingkap bilik Tok Ma yang tiba-tiba terbuka. Kelihatan susuk tubuh wanita itu disebalik langsir mengejutkannya. Haji Suman cepat-cepat menukar topik dan meminta agar Azman dan Azwan datang ke surau sekarang membawa bersama isteri dan anak-anaknya. Haji Suman berkata mereka harus segera ke sana untuk majlis Takbir Raya.
Dengan pantas, Azman mengarahkan isteri dan anak-anaknya ikut serta memberi isyarat agar mereka membiarkan Tok Ma berehat di bilik sahaja. Sebenarnya Azman sudah berasa gusar yang tidak terhingga. Azwan yang masih hairan dengan kata-kata Haji Suman tadi meminta abangnya untuk tidak cepat mempercayai kata-kata Haji Suman itu. Sebelum ini, mereka tidak pernah ditegur oleh mana-mana jiran Tok Ma. Bahkan, Haji Suman pun tidak pernah datang ke rumah mereka sebelum ini. Azwan berasa amat pelik. Azman tidak menghiraukan Azwan, dia hanya ingin cepat-cepat keluar dari rumah itu. Sejak dia membuka alunan Takbir Raya di televisyen dia tidak melihat kelibat Tok Ma. Dia juga sebenarnya pelik dengan keadaan Tok Ma tetapi tidak dapat berkata apa-apa sebelum ini. Tok Ma tidak bangun bersahur dan tiada di rumah setiap pagi. Mereka hanya bersembang dengan Tok Ma apabila Tok Ma keluar dari biliknya menjelang waktu berbuka.
Jantung Azman terasa seakan terhenti apabila semua lampu di rumah itu tiba-tiba terpadam sendiri. Alunan Takbir Raya di televisyen juga terhenti. Kaki mereka seakan terpaku dan tidak dapat bergerak kerana terkejut. Pandangan mereka tertumpu ke arah bunyi yang kedengaran dari bilik Tok Ma. Bunyi seperti cakaran-cakaran kuku itu semakin lama, semakin kuat seakan-akan mengelilingi mereka. Dengan perlahan-lahan pintu bilik Tok Ma terbuka. Anak-anak dan isteri Azman sudah mula menangis ketakutan. Azman dan Azwan masing-masing ingin membacakan ayat-ayat Al Quran namun tiada sesuatu ayat pun yang terlintas difikiran mereka. Dalam samar-samar, mereka melihat ada tangan dengan kuku hitam, panjang dan tajam keluar dari balik pintu bilik Tok Ma. Isteri Azman memejam mata dan memegang erat anak-anaknya tiba-tiba berasakan sesuatu yang aneh. Tangan anak perempuan yang dipegangnya begitu sejuk. Apabila dia membuka mata, alangkah terkejutnya dia melihat makhluk seperti wanita berambut panjang serabai, dengan kuku hitam, tajam dan panjang berdiri disebelahnya. Tidak terlihat wajah makhluk itu tetapi dia seperti melihat makhluk yang mengerikan itu tersenyum menyeringai kepadanya menyebabkan dia jatuh pengsan di situ juga. Sedang Azman ingin membantu isterinya, Azwan tiba-tiba menjerit nama anak saudara perempuannya yang tiba-tiba hilang dari pandangan mereka. Keadaan jadi kucar-kacir.
Tiba-tiba mereka mendengar suara Haji Suman dan beberapa orang kampung dari halaman. Dengan bantuan lampu kereta yang disuluhkan ke arah pintu rumah Tok Ma, barulah mereka nampak jalan keluar. Haji Suman mengarahkan Azman dan Azwan keluar dari rumah itu segera. Dengan bantuan beberapa orang kampung, mereka semua dapat keluar. Namun mereka sangat khuatir akan keselamatan anak perempuan Azman yang hilang dalam kekalutan tadi. Mereka semua di bawa ke surau. Isteri Azman meracau-racau bila sedar dan pengsan semula bila bacaan Rukyah di lakukan oleh Haji Suman. Malam itu juga Haji Suman meminta bantuan seorang Perawat yang dikenalinya. Walaupun masing-masing sibuk dengan persiapan syawal keesokkan harinya, namun beberapa orang jiran Tok Ma hadir datang ke surau turut membantu dan menemankan keluarga Azman.
Haji Ishak iaitu Perawat dari pusat Rawatan Islam berhampiran tiba walaupun agak lewat. Mereka semua di temani Haji Ishak, Haji Suman, Azman dan Azwan serta beberapa orang kampung bergegas menuju ke rumah Tok Ma untuk menyelamatkan cucu perempuannya yang dikhuatiri disembunyikan oleh makhluk yang tidak bertuan itu. Masing-masing diingatkan supaya membaca Ayatul Kursi sentiasa sepanjang berada di sana. Hanya Haji Suman dan Haji Ishak masuk ke dalam rumah dengan sambil membawa garam dan lada hitam sambil membacakan Ayat-Ayat Al Quran. Tak lama kemudian Haji Suman keluar membawa anak perempuan Azman yang tidak sedarkan diri. Mereka menjumpai kanak-kanak itu seperti sedang tidur dalam bilik Tok Ma. Azman merangkul anaknya dengan erat dan berterima kasih dengan bantuan Haji Suman dan Haji Ishak serta orang kampung yang hadir. Mereka semua akhirnya di bawa ke rumah Haji Suman untuk berehat.
Pagi syawal itu tidak seperti syawal yang diharapkan oleh Azman dan Azwan. Mereka di bawa ke tanah perkuburan Islam untuk melihat sendiri kubur Arwah Tok Ma yang meninggal dunia kira-kira seminggu yang lalu. Doktor yang mengesahkan kematian Tok Ma hanya mencatatkan sebab kematian Tok Ma adalah sakit tua. Dia meninggal dunia sendirian di rumahnya dan hanya disedari oleh jirannya apabila Tok Ma tidak kelihatan keluar dan rumahnya bertutup rapi sudah beberapa hari. Terdapat sedikit kekeliruan kerana jirannya menyangka Tok Ma dibawa pergi oleh anak-anaknya kerana mereka nampak ada kereta masuk ke halaman rumah Tok Ma. Rupanya ada orang di kampung sebelah berhajat ingin mendapatkan khidmat urutan bersalin selepas raya namun Tok Ma menolak hajat mereka dengan baik kerana Tok Ma sudah tidak lagi mengurut mahupun mengubat sesiapa lagi.
Pada akhirnya, mereka menjumpai jasad Tok Ma pada hari ke tiga. Mereka cuba menghubungi salah seorang dari Azman dan Azwan namun tiada seorang pun mengetahui nombor telefon keduanya. Kerana jasad Tok Ma sudah lama terbiar, orang kampung terus menguruskan jenazahnya tanpa menunggu anak-anak Tok Ma pulang. Azman dan Azwan menangis dan meraung melihatkan kubur tempat persemadian ibu mereka. Walau mengalir air mata darah sekalipun, Azman dan Azwan tidak dapat berjumpa dengan ibu mereka sehingga akhir hayatnya.
Haji Suman dan orang-orang kampung sebenarnya sudah muak dan marah dengan perangai kedua mereka yang tidak mempedulikan Tok Ma semasa hidupnya. Hati Haji Suman bertambah remuk apabila ternampak Azman dan Azwan sibuk menghias rumah, memasak juadah hari raya walaupun ibu mereka baru sahaja meninggal dunia. Dia mahu menegur perbuatan mereka berdua itu dan mengajak keduanya bertakbir dan bertahlil untuk Tok Ma. Namun apa yang memeranjatkannya, ada makhluk lain yang sudah menggantikan Tok Ma di rumah itu. Oleh kerana itu, dia mesti berbuat sesuatu. Azman dan Azwan menginap di sebuah homestay di kampung itu untuk meneruskan rawatan Islam dengan Haji Ishak. Mereka kerap diganggu dengan mimpi dan makhluk ngeri disebabkan tinggalan ilmu Tok Ma. Tok Ma sebenarnya sudah lama menjalani rawatan Islam dengan Haji Ishak. Kemuncak rawatan itu adalah untuk membuang SAKA ilmu yang diturunkan oleh ibunya kepada Tok Ma supaya Tok Ma boleh bekerja dengan mengurut dan mengubati beberapa penyakit misteri. Tok Ma benar-benar mahu berubah dan tidak mahu terlibat dengan jin-jin SAKA itu lagi, namun ianya tidak semudah yang disangka. Makhluk itu tidak berhenti mengganggu hidup Tok Ma serta mula mengganggu anak-anaknya. Kerana khuatir dengan keselamatan anak-anaknya, Tok Ma rela disisih dan hidup sepi sendiri.
Haji Suman menasihatkan Azman dan Azwan supaya tidak membenci ibu mereka. Kita tidak layak untuk menghukum seseorang apatah lagi ianya adalah keluarga kita sendiri, kerana kita tidak tahu apa yang mereka hadapi. Seharusnya sebagai anak, kita haruslah berdoa untuk keampunan ibu bapa kita dan memohon keselamatan mereka di akhirat kelak. Mendengarkan itu Azman dan Azwan terus juga menangis teresak-esak dan menyesali tindakan mereka. Namun, Hari Raya Tok Ma tidak berakhir di situ.
Setelah pulang ke bandar, Azwan kembali ke Melbourne semula. Dia ingin memulakan hidup baru dengan azam untuk memperbaiki dirinya dan agamanya. Azman juga semakin berubah dan cuba membimbing isterinya untuk turut sama mendalami ilmu agama bersama-sama. Peristiwa misteri yang berlaku pada keluarga mereka itu membuka matanya untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Tetapi dia tidak sedar sesuatu sedang mendampingi anak perempuannya. Tanpa pengetahuannya, pada setiap malam "Tok Ma" akan datang melalui jendela. Tempat mula-mula dia menjengah dahulu.
Malam itu angin sejuk menderu-redu. Ada susuk tubuh wanita berambut panjang melayang-layang di udara menanti dengan sabar di bucu jendela.
"Tok.. Tok.. Tok.." bunyi jendela bilik itu diketuk beberapa kali. Bunyinya kedengaran seakan bunyi ranting yang diketuk lembut dari luar.
Kuku hitam, dari jari yang runcing dan tajam itu diketuk pada kaca jendela berkali-kali menyedarkan Maisarah dari lena. Tanpa rasa takut, Maisarah bangun dari katilnya dan berjalan perlahan-lahan ke arah jendela supaya tidak mengejutkan ibu bapanya. Dia melihat "Tok Ma" datang seperti selalu.
Dan seperti selalu juga, Maisarah akan membuka jendela dan menjemput "Tok Ma" ke dalam biliknya dan masuk ke dalam hidup mereka semula.
Maisarah sudah berjanji dengan "Tok Ma" semenjak hari raya itu, "Tok Ma" tidak akan sendiri lagi.
~Selamat Hari Raya~!

