Thursday, August 15, 2019

Sesi Mengopi di Kubur Ayah.



~Lewat Petang Hari Raya AidilAdha yang Pertama, 11hb Ogos 2019, Sabtu 6:30 petang.
Kami Menziarahi Ayah Di Kampung Abadi~

Assalamualaykum Ayah,

Maafkan Adek, dah lama tak jenguk kubur ayah. Adek tahu, Ayah baik-baik saja di sana. Bukan Adek, Emak, Along, Benja dan Uda tak nak balik, tapi ada banyak halangan untuk kami sampai ke sini. Sungguh kami rindu sangat dengan Ayah!

Last kami balik haritu, kami dah tanam pokok puding baru kat kubur Ayah. Alhamdulillah, pokok yang ni tetap hidup walaupun daunnya agak kering. Mungkin sebab musim panas. Pokok yang dulu tu tak nak hidup. Yelah, kami pun tak jenguk pokok tu, mana la dia nak hidup kan. Kami dah betulkan kembing batu-bata dan gemburkan tanah kubur Ayah. Dah cantik kubur Ayah sekarang.

Ayah, Adek rindu nak sembang dengan Ayah. Dulu masa kecil-kecil, mana ada Adek berani nak bersembang dengan Ayah. Seriau! Sekarang rasa rugi pulak. Dalam 2-3 tahun sebelum Ayah pergi dapatlah juga kita duduk-duduk bersembang mengopi bersamakan? Alhamdulillah, itulah jadi kenangan sampai kini. Samalah macam hari ni, bezanya kini tiada kopi, kita cuma bersembang sepi. Adek selalu buatkan kopi untuk Ayah. Ayah kata Adek buat kopi sedap, pekat. Dah jadi rutin Adek buat kopi untuk Ayah petang-petang. Kadang-kala kalau rajin, Adek buat kudap-kudapan. Tapi selalunya mak lah yang buat. Dan kita bertiga akan duduk di luar, menghirup udara segar petang-petang sambil bersembang-sembang. Bila tiba waktu Maghrib, kita akan solat Jemaah bersama. Di akhir-akhir usia Ayah, Adek pun dah belajar jauh, pulang cuma waktu cuti semester sahaja. Begitulah rutin harian masa kami waktu petang-petang. Keadaan yang sangat santai dan mendamaikan.

Demi Allah, Adek rindu la dengan Ayah. Rindu nak dengar suara Ayah. Kalau boleh Adek nak cerita semua yang dah jadi pada Adek ni pada Ayah. Kalau Ayah masih ada, Adek rasa keadaan tak mungkin jadi macam ni. Orang takkan mudah nak mengenakan keluarga kita. Orang-orang ni cuma takut dengan Ayah, bukan takut dengan Allah. Bila Ayah dah tiada, orang-orang ini sewenang-wenangnya menganiaya kita, memperlekehkan kita, menghalau kita dari tanah kita, dari tanah rumah Ayah. Ayah tahu tak, mereka nak rampas tanah rumah Ayah, yang Ayah dirikan sendiri dengan tulang 4 kerat Ayah untuk keselesaan anak cucu Ayah. Adek minta maaf rumah tu terpaksa kami tinggalkan demi kelangsungan hidup. Namun kami akan kembali untuk menebus hak kami. Adek janji, Adek akan berusaha untuk bangunkan kembali rumah Ayah tu. Adek takkan biarkan orang-orang itu terus-terusan memijak-mijak kita. Menghinakan kita di tanah kita sendiri. Ayah beli tanah tu dengan hasil titik peluh Ayah, tiada sangkut paut dengan hak milik pusaka orang-orang itu. Dah la orang-orang itu membaham kesemua harta pusaka Ayah, malah tanah yang Ayah beli sendiri pun mereka mahukan juga. Ayah, orang-orang ni dah melampau!

Tak cukup dengan itu, orang-orang ini menyakiti kami semua. Mengguris hati kami semua, memporak-perandahkan hidup kami semua. Ayah tahu tak, sehari lepas Ayah hidup di Tanah wakaf, ada orang tu suruh Adek berhenti belajar, dia cakap jangan susahkan adik-beradik sebab Ayah dah tiada. Dia taknak Adek jadi macam dia, susahkan adik-beradik nanti adik-beradik mengungkit. Dia macam nak bagitahu yang Ayah mengungkit perihal dia belajar dahulu. Padahal Adek tahu yang Ayah sangat berbangga dengan orang itu. Tak pernah keluar dari mulut Ayah yang orang itu membebankan Ayah. Kelu lidah Adek mendengarkan nasihat orang itu. Benja pun dengar jelas pesanan orang itu. Sampai hati mereka mematahkan hati kami disaat kami perlukan sokongan selepas ditinggalkan Ayah.

Ayah nak tahu tak, masa Ayah dah dimandikan dan menunggu masa untuk dikafankan, ada orang tu bising-bising cakap kain tak cukup, kapas tak cukup seolah-olah nak mengaibkan Ayah. Abang Halim menantu Ayah pun bergegas pergi beli lagi di pekan. Padahal orang masjid yang mandi dan kafankan ayah tiada pun meminta kain dan kapas lagi. Semuanya cukup, malah jadi berlebihan. Ayah terbaring kaku dengan wajah yang sangat manis. Sepanjang malam itu, sesaat pun Adek tak tinggalkan Ayah. Setitik air dan secebis makanan pun tidak masuk ke perut Adek. Semuanya rasa pahit. Adek tidur sebentar ditepi Ayah, lalu bangun kembali menyambung bacaan ayat-ayat suci Al Quran untuk Ayah.

Ayah tahu tak, malam itu ada tetamu khas yang mendoakan ayah, menyedekahkan ayat-ayat suci untuk Ayah. Yang sama-sama membaca tahlil untuk Ayah. Sampaikan orang sekeliling hairan siapakah gerangan pemilik suara itu. Suaranya garau, jelas fasohahnnya persis bukan orang kampung kita, suaranya itu seperti mengetuai bacaan tahlil yang Adek bacakan dalam keadaan teresak-esak. Orang-orang itu turut mendengarnya. Adek tak tahu persepsi mereka akan perkara ini. Tapi yang penting tetamu Ayah itu, tetamu yang baik. Sepanjang membaca tahlil itu, mata Adek, Along dan Uda saling berpandangan. Hanya kami yang membaca tapi ada suara lain yang ikut sama. Subhanallah.

Ayah, sesungguhnya Adek amat mencemburui kematian Ayah. Walaupun orang mengenali Ayah sebagai seorang yang garang, namun Ayah seorang yang berhati mulia, Ayah tak berdendam dengan orang yang berbuat jahat pada dia, Ayah tak pernah menderhaka pada ibunya walaupun ibunya tidak pernah menyayangi dirinya macam anak-anaknya yang lain. Ayah tetap menyantuni ibunya dengan sebaik mungkin setiap kali ibunya bertandang ke rumah kita. Tapi orang-orang itu yang tidak suka melihat Ayah berbuat baik dengan ibunya sendiri. Walaupun pada akhir usia ibunya, Ibunya kembali sedar yang mana intan yang mana kaca. Anak yang disisihkan itulah anaknya yang baik, yang ikhlas berbakti padanya. Namun, apakan daya, sudah terlambat.

Orang-orang itu memisahkan Ayah dan ibunya sehingga nafas terakhir. Orang-orang itu takut ibunya akan memberikan seluruh hartanya pada Ayah jika Ibunya bertukar fikiran. Jahat betul mereka Ayah! Adek ingat lagi betapa Ayah kecewa dengan perbuatan mereka bilamana Ayah datang nak menziarah ibunya. Adek ingat lagi kita datang malam-malam dengan motosikal, senyap – senyap macam pencuri di malam hari. Tiba di simpang jalan Ayah suruh kami mematikan enjin supaya orang yang duduk di sebelah rumah ibunya tidak mendengarkan kedatangan kami. Kami sorong motosikal dengan berhati-hati tanpa membuat sebarang bunyi. Ayah menghendap-hendap di tingkap memanggil-manggil ibunya hanya kerana nak melihatkan wajah ibunya,  hanya kerana nak bertemu dengan ibunya. Allahuakbar! Perkara ini masih kukuh dalam mindaku. Sedihnya Ayah waktu itu, hanya Allah yang tahu. Manik-manik jernih gugur di pipinya. Setiap kali kami datang, setiap kali itulah kami akan pulang dengan hampa.

Sehinggalah Ayah mendengarkan berita bahawa ibunya sudah meninggal dunia tanpa dapat Ayah melihat wajah ibunya walaupun untuk kali yang terakhir. Ibunya dikhabarkan meninggal dunia dalam tidur sendirian di rumahnya. Nampak benar orang-orang itu berhati busuk menyembunyikan ibunya dari Ayah. Berkali-kali Ayah ke rumah ibunya namun ibunya tiada di sana kerana disembunyikan di rumah salah seorang dari orang-orang itu. Bila sudah tidak berguna bagi mereka, ibu itu ditinggalkan sendirian di rumahnya. Bila dah meninggal jenazah ibu itu di bawa pula ke rumah orang-orang itu. Seperti tidak membenarkan Ayah menziarah! Begitu kejam perbuatan mereka pada Ayah! Sampai hati mereka buat begitu pada Ayah!

Mungkin kerana itu Allah ambil Ayah dalam keadaan paling mulia. Waktu Ayah solat Zuhur rakaat kedua, dalam mengingat Allah, dalam keadaan berwuduk. Allahuakbar! Indahnya kematian Ayah. Sepanjang jenazah Ayah di rumah tak putus-putus orang datang menziarah. Ayah bukan ketua kampung, bukan orang berpangkat namun Allah muliakan kematian Ayah. Sesungguhnya orang-orang itu cemburukan Ayah! Mereka dengki pada Ayah! Ketahuilah pada mereka, mereka akan kalah dan kecewa dengan kekalahan mereka sampai mereka mati! Mereka tak pernah meminta maaf atas perbuatan mereka pada Ayah. Mereka berhutang pada Ayah sampailah mereka mati. Hanya Allah yang akan membalas perbuatan mereka itu diakhirat nanti. Tunggu sajalah balasannya.

Orang-orang itu bukan orang lain pun, mereka adalah adik-adik Ayah yang berhati busuk dan bertopengkan syaitan! Semoga Allah membalas perbuatan mereka itu dengan azab yang pedih!
Ayah, nanti Adek cerita lagi ye. Kisah sedih kita ini, tidak berakhir di sini. Ada sambungan lagi..

Tapi, harini Adek nak kabarkan pada Ayah yang anak-anak Ayah masih teguh bersama. Ayah pasti bangga! Ini buktinya yang Ayah dah berjaya didik kami semua. Walau pelbagai dugaan dan cabaran menghalang hubungan kami, mereka cuba nak pisahkan kami, mereka cuba melagakan kami, namun restu Ayah tetap bersama kami. Terbontanglah mata-mata orang itu melihat keutuhan dan keakraban kami anak-anak Ayah. Walaupun Ayah dah tiada, rumah kampung pun dah tiada tapi kami tetap pulang ke kampung bersama. Beraya bersama, membahagiakan Emak bersama. Walau tiada harta dunia yang Ayah bekalkan pada kami namun harta Akhirat ini lebih bermakna. Kami pulang menziarah jiran tetangga yang baiknya melebihi kebaikan orang yang ada pertalian darah dengan kita. Kami juga bersatu hati wakafkan tanah Ayah bersebelahan tapak rumah tu, semoga ada ganjaran kebaikan untuk Ayah. Kami akan buat yang terbaik untuk Emak dan Ayah, InsyaAllah.

Nanti kita mengopi lagi, OK! Dah nak masuk waktu maghrib ni. Kami pulang dahulu. Tadi dah singgah sebentar di rumah lama Ayah.

Raya di Rumah Ayah

Rumah Ayah ni InsyaAllah akan kami bangunkan semula.

Selamat Hari Raya AidilAdha Ayah!
Jumpa lagi nanti, InsyaAllah.

Assalamualaykum.💙