Wednesday, September 20, 2017

Tragedi Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah ~ Selamat Jalan Anak - Anak Syurga

Assalamualaikum dan salam sejahtera wahai saudaraku..


Kejadian hitam yang meragut nyawa anak-anak Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah masih menghantui fikiran kita. Aku lihat di FB ramai orang kita masih mengunjungi tempat kejadian itu. Untuk apa? Aku tak pasti, mungkin ingin melihat sendiri kesan kekejaman manusia atau melihat sendiri tempat yang kelam dengan titik tumpahnya darah para Syuhada comel yang masih muda untuk bergelar Syahid.

Tetapi, siapalah kita untuk menidakkan takdir Allah SWT. Mereka insan yang terpilih untuk melalui ujian ini, mereka terpilih menjadi Syahid dalam berjuang menuntut Ilmu. Tetapi kita, tetap hanya berada di hadapan komputer and telefon bimbit membaca, menyebarkan berita - berita yang kita dapat panas - panas, padat dari setiap pelusuk sumber dari FB, Whatsapp, Telegram, Berita - berita Online dan sebagainya. Apa kita tidak sedar natijah kejadian ini pada kita? 

Ya kita. Atau kita cuma tahu memetik nama-nama orang tertentu untuk dipersalahkan satu - persatu. Maka terkeluarlah segala kenyataan kesat, kecaman berbentuk makian dan saling salah - menyalahkan. Jadi, di mana pendirian kita? Jika kita bukan tergolong dari golongan keluarga dan saudara - mara mangsa, jadi apa peranan kita yang sebenarnya?

Tidakkah kita mengambil ibrah (pengajaran) daripada peristiwa hitam ini? 

Aku sama seperti kamu juga, turut sedih dengan tragedi ini, turut menangis, turut marah, turut inginkan pengadilan buat anak - anak Tahfiz itu. Tiada kalimah atau ucapan paling sesuai melainkan bersabar dan berdoa agar setiap kehilangan ini diberikan ganjaran yang besar oleh Allah SWT dikemudian hari.



Salam takziah yang kesekian kalinya diucapkan kepada seluruh warga Pusat Tahfiz Darul Quran Ittiqaiyah serta keluarga mangsa yang terkorban. Sesungguhnya kita adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jua kita kembali.


Aku mengambil masa agak lama untuk mencoretkan sesuatu berkenaan tragedi ini kerana aku juga turut bersedih. Saat aku berlalu membaca coretan - coretan dan luahan kesedihan yang kita kongsikan bersama aku terbaca coretan ini. Sedih! terima kasih #lilymoha atas nukilan ini. Inilah juga yang terbuku di hatiku, yang tak dapat nak diluahkan dengan kata - kata..

Kau tahu kawan,
22 orang anak ke syurga itu adalah anak kita.
7 orang itu juga adalah anak kita.

Kitalah, kita,
Kita yang belum apa-apa sudah menjadi hakim, 
Kita yang belum apa-apa menunding jari melepaskan diri, 
Kita yang belum apa-apa sudah sibuk menjatuhkan hukum. 

Kitalah, kita, 
Yang mendengar perkataan "mengejek" pun sudah sibuk mengeluarkan teori, 
Seolahnya kita turut di sana, 
Mendengar setiap patah kata. 

Kitalah, kita, 
Yang sudah gagal mengeja sabar, 
Belum apa-apa sudah menuturkan tinta, 
Budaya mengecam walau pada nasihat, 
Budaya menularkan berita walaupun belum sahih, 
Budaya membesar-besarkan cerita walau hanya isu kecil. 
Budaya yang mahu tunjuk akulah yang betul, akulah yang benar, akulah yang bijak. 

Kau tahu kawan, 
Saat 23 keluarga menghantar kecintaan mereka ke syurga, 
Ada 7 keluarga lain sedang terkejut, 
Entah apakah perasaan ini? 
Dari semalam cuba menghadam, 
Sejauh ini mereka kefikiran. 

Siapa ibu bapanya? 
Generasi kitalah, 

Usia kita, 
Yang bergelut dengan bejatnya dunia, 
Guru tidak boleh mendidik, 
Jiran tidak boleh menegur, 
Sedang kita tahu, 
It takes a nation to raise a kid. 

Hari ini, 
Tariklah nafas dalam-dalam, 
Berkuatlah kita semua, 
Hanya ada tiga hari saja dalam kehidupan. 
Hari semalam yang telah kita tinggalkan, 
Hari ini yang esoknya kita tentukan, 
Dan esok yang kita doakan supaya baik-baik sahaja. 

Semoga kita belajar dari semalam untuk hari ini berusaha melengkapkan generasi esok. 
Kredit #lilymoha

Aku tahu pasti ada yang tidak bersetuju dengan nukilan ini dan terus - terusan menghentam pusat pendidikan tahfiz. Biarlah yang duka berlalu. Tidak mudah mengatakan mereka yang pergi sudah berbahagia di sana, sedangkan keluarga mereka yang ditinggal pasti tengah berduka. Redhalah! Mudah bagi kita untuk menitipkan pesan, tetapi hanya mereka sahaja yang memahami perasaan kehilangan.


Jadi, kita selaku masyarakat yang yang melihat, merasa dan berduka marilah sama - sama berdoa untuk mereka dan untuk kita. Banyak kepincangan yang berlaku dalam masyarakat adalah berpunca dari kita juga. Suatu musibah berlaku kerana Allah ingin beri peringatan kepada kita, membalas dosa kita, mengampuni dosa kita serta menaikkan darjat kita. Tetapi adakah kita perlu tunggu lagi musibah yang lain baru kita kembali mencari Allah? Hentikanlah menuding jari salah - menyalahkan, kaji puncanya dan selami cara untuk atasinya sama - sama. Aku sangat bersetuju dengan perkongsian dan luahan Prof Muhaya mengenai kejadian ini. Anda boleh baca di sini.

Akhir kalam, percayalah setiap jiwa yang suci itu natijahnya InsyaAllah baik juga. Selamat jalan anak - anak Syurga.


~ Mari kembali kepada fitrah dan memohon ampun kepada Allah~

Thursday, September 7, 2017

Mana Lagu Selamat Malam Rohingya??

Pelik. Benar - benar pelik!


Sejak kebelakangan ini banyak artikel menyebarkan kebencian terhadap orang Rohingya di tulis di blog-blog dan di FB post. Aku jadi pelik sebab masa mula - mula isu ni diketengahkan dahulu ramai orang kita yang kesian. Pada waktu itu aku lihat masing - masing share update dari Rohingya, mengutuk kekejaman sami - sami Budha sebagai pengganas, penjenayah dan sebagainya. Pernah ada petisyen yang di tularkan untuk semua rakyat Malaysia tanda tangan menuntut kebenaran bot orang Rohingya untuk berlabuh di pantai kita suatu masa dahulu. Bunyinya macam dah lama, tapi sebenarnya isu ni baru lagi dicakna orang Malaysia. Orang kita juga dahulunya pernah menganjurkan perhimpunan secara besar - besaran tanpa mengira parti politik, tanpa mengira bangsa dan agama untuk memberi sokongan dan menzahirkan keprihatinan masyarakat Malaysia berhubung isu Rohingya ini. Malah PM kesayangan korang pun turut serta sama-sama mengutuk tindakan Junta Myanmar. 


Apa sudah jadi sekarang?? 

Korang tahu tak cerita sebenar disebalik isu ini? Ke masih ada yang tak tahu apa - apa bagaikan baru turun dari bulan gamaknya. 

Secara ringkas mengenai sejarah Rohingya korang boleh baca kat sini. Malas membaca aku tak tahu nak tolong fahamkan macam mana lagi. 

Sejarah Rohingya - Artikel Malaysia 
Sejarah Rohingya - Artikel Indonesia 

Aku agak terkesan bila ramai orang menyokong artikel - artikel yang menyebarkan kebencian ini. Tak perlu aku letakkan di penulisanku. Aku tak ingin menyebarkan kebencian ini. Korang taip je Isu Rohingya kat Google atau FB macam - macam artikel dan post akan keluar. Kebencian termasuk cerita mereka ini biadap, bangsa tak sedar diri, pengemis, pengotor, makin pijak kepala, tiba - tiba banyak pula cerita dari Pasar Borong Selayang keluar. Ramai pula yang menularkan gambar - gambar keadaan kotor yang dikatakan berpunca dari orang - orang pelarian ini. Malah ada orang kita menggelarkan mereka ini virus, patut pun dihapuskan di Rakhine, Myanmar. Nauzubillah, sampai ke situ kejamnya penulis itu. 

Mana pergi lagu yang didendangkan dahulu? Lagu yang mendendangkan kesedihan, keprihatinan dan simpati orang kita. 

Apa sudah jadi sekarang?? Atau patutkah kita buat lagu Selamat Jalan Rohingya, Selamatlah Balik ke Tempat Asalmu Rohingya atau Nyah dari Sini Rohingya, Malaysia Kami yang Punya. 

Cakap lebih - lebih pun tak guna, nanti kena kecaman lagi. Sejujurnya aku dah tak kisah kena kecam. Nanti akan adalah mereka yang berkata ; 

"Kau boleh lah cakap, Kau tak pernah berurusan dengan diorang ni, kau tak rasa!" 

"Kau tak berjiran dengan mereka, mereka ni samseng tak bertamadun!" 

"Kau nak ke Malaysia ni dikuasai puak - puak pelarian ni?" 

"Kau nak ke nanti di masa depan, kau perlu bersaing dengan mereka yang berlambak di sini?" 

“Kalau kau nak tolong sangat, kau aje lah yang buat. Bela semuanya kat rumah kau. Aku ada banyak masalah lain nak fikirkan ini.” 

Hurmm.. Apa sudah jadi sekarang?? 

Disebabkan ini blog aku dan tempat aku menulis dan meluahkan rasa dan fikiranku. Aku persilakan kalau korang tak setuju. 

Satu je aku nak cakap lagi, 

Bayangkan jika bangsa Melayu kat tempat mereka (tak kisah la Bangsa Johor ke, Bangsa Perak ke Bangsa KL ke dll), kena serang, kena rogol dan bunuh hari -hari. Minta bantuan negara Islam dan jiran -jiran, mereka kata kita bangsa tak sedar diri! Menyusahkan! Buat negara Islam lain terhimpit! 

Apa rasanya?? 


Sedarlah! Ini semua usaha -usaha musuh Islam nak pecahkan umat Islam. Usaha nak jadikan manusia tidak lagi membantu manusia lain yang susah. Atau korang dah lupa 

Sabda Rasulullah SAW 

“Bandingan orang-orang mukmin dalam kasih-sayang, kesian dan simpati sama seperti satu jasad. Apabila satu anggota merasa sakit, maka seluruh angota lain turut berjaga malam dan demam” (Riwayat Muslim) 

Jangan timbulkan sentimen kebencian itu. Aku dah baca banyak komen negatif ni, dan aku risau akan natijahnya nanti. Disebabkan itu aku sanggup stay back sebab nak tulis pasal ni hari ni juga!

Terima kasih kepada Ustaz Hakim Mohd Nor, Setiausaha Serantau Muslim. Atas tulisan beliau yang mengulas komentar negatif mengenai Rohingya baru - baru ini. Aku harap sangat korang baca kat sini. Hadamkan betul - betul!


Akhir kata, letak diri kita dalam situasi mereka. Bukan jadi Keyboard Warrior menyebarkan kebencian sesama kita. 

~So, I'm ready kecamlah me~

Tuesday, September 5, 2017

Gelita ~ Bermulanya Episod Misteri (Seram - Seram Kuku)



Apa yang akan aku ceritakan adalah cerita sebenar kejadian. Sebenarnya, rasa agak gusar bila aku mula menulis sesuatu seperti ini. 

Kisah yang akan aku ceritakan ini mungkin kisahku sendiri, mungkin juga bukan. Cuma ku harapkan pembaca semua mengambil iktibar atas cerita ini. Cerita tetap juga cerita, mungkin ada yang benar dan ada yang ditokok tambah sebagai penambah perisa dan penyedap cerita. Namun, apa yang ingin ku ketengahkan adalah intipati dan pengajaran melalui cerita ini. Itu yang paling penting! Kita mungkin ada mengalami peristiwa misteri, samada ianya benar ataupun khayalan. Tetapi, aku ada suatu yang nak diceritakan..

Aku (adalah pencerita)
Masihku ingat, sewaktu kecil dahulu aku dan kakak selalu menghabiskan masa cuti sekolah kami di rumah Opah sebelah ibu di Kampar, Perak. Umur aku dan (Uda) kakakku yang kedua cuma beza 2 tahun sahaja.



Sekadar gambar hiasan
Kalau cuti sekolah selama sebulan, paling tidak seminggu pasti kami tidur di sana. Kebiasaannya, ibu akan menghantar kami berdua dengan bas loncat-loncat (term orang kampung) dari Teluk Intan ke Kampar. Perjalanan mengambil masa lebih kurang satu jam setengah. Sampai saja di simpang jalan masuk ke kampung, Atuk akan menjemput kami dengan motosikalnya. Masa tu Arwah Atuk dan Opah masih sihat lagi. Sekarang kedua-duanya telah pun pulang ke Rahmatullah. Pelbagai keseronokkan menanti kami bila bercuti di kampung. 

Aku juga punya sepupu yang sama umur denganku serta adik-beradiknya yang diasuh oleh Opahku sedari kecil. Malah mereka juga bersekolah di kampung itu. Itulah geng sepermainan kami. Macam-macam aktiviti akan kami lakukan bila bersama. Masuk kebun, keluar kebun, tunggu durian dan buah-buahan di kebun Atuk, main masak-masak, main kejar-kejar, main rumah-rumah, ada masa berkawan baik, ada masa bergaduh dan part yang paling disukai ialah part menyakat dan bercerita hantu. Kadang-kadang cerita tak logik pun keluar. Bab menyakat, selagi seorang tak menangis tak sah. Pernah balik mengaji malam-malam kena tinggal kat tepi pokok pisang, sebab masing-masing lari balik sebab ade sorang tu jerit hantu. Masing-masing bertempiaran lari. Ada kala kami panjat pokok, panjat bukit, panjat tebing. Lutut berdarah, kaki terseliuh tu perkara biasa. Pernah suatu ketika tu kami main kat suatu kawasan yang agak bahaya untuk budak-budak. Kami main di tepi lombong sebab nak kutip batu cantik-cantik. Balik dari situ kena marah kaw kaw dengan Atuk. Sepupu yang lebih tua dari kami la yang disalahkan sebab bawak adik-adik pergi kat tempat itu. Padahal itu cuma lombong tinggal, air pun dah kering. Begitu indah dan lasak zaman kanak-kanakku dahulu. Ganas serupa jantan! 

Sayangnya hubungan rapat itu tak berkekalan. Alangkah ruginya. Pelbagai perkara menyumbang kepada keadaan sekarang, adik-beradik ibuku sudah tidak lagi berbaik seperti dahulu. Mungkin semuanya telah ditakdirkan, namun aku agak terkilan dengan keadaan ini. Hanya kerana harta pusaka, masing-masing membawa haluan sendiri dan tidak lagi bertegur sapa. Sepupuku juga semakin jauh dariku. Malah di laman sosial pun tiada yang berhubungan. Aku juga kadang-kadang hairan bagaimana hubungan kami yang cukup rapat kini jadi renggang dan dingin. Sejak Opah dan Atuk sudah tiada, Pak Cik dan Mak cik serta sepupuku semua sudah tidak lagi datang beraya di rumah kami. Dan Semenjak Ayahandaku juga sudah tiada, mereka langsung tidak mengambil tahu perihal Ibuku. Walhal, Ibuku adalah anak sulong pada Atuk dan Opah. Aku sangat hairan.

Dalam pada masa yang sama, keadaan hidup kami juga berubah. Ibuku terkena penyakit misteri, sakit yang dialami ibu sama seperti keadaaan Opah terdahulu. Demam sampai meracau. Pernah suatu kejadian aneh berlaku dan disaksikan aku dan seorang Doktor Cina di sebuah klinik kesihatan. Masa tu, Ibu demam panas, dan mengadu sakit perut dan cirit-birit sampai tak mampu untuk bangun. Aku bergegas balik bila Along (kakakku yang sulong) telefon dan beritahu keadaan Ibu. Masa tu, Ibu tinggal dengan Along dan aku duduk bujang dengan kawan-kawan. Along tak punya kenderaan untuk menghantar ibu ke klinik. Abang iparku pula masih ditempat kerja dan pulang agak lewat. Ibu sudah tak berupaya bangun bila diajak ke klinik berhampiran. Terpaksa dipapah oleh cucunya, anak Along yang paling tua. Sampai klinik, Ibu terpaksa ditolak dengan kerusi roda sebab tak berdaya untuk berdiri. Masa tu dah senja. Kerana kecemasan, doktor sendiri suruh masuk tanpa perlu tunggu giliran. Ramai juga pesakit lain pada masa itu. Bila doktor periksa perut ibu dan tepuk-tepuk disekitar permukaan perut, doktor tak menjumpai apa-apa. Doktor ada menyebut sakit ni mungkin angin. Aku dan Along saling berpandangan. 

"Takkan angin sampai macam ni punya sakit!" kataku dalam hati. 

Melihatkan mukaku yang tak berpuas hati dengan jawapannya itu, Doktor menyarankan agar kami cuba Ultrasound scanning. Namun, masih tak menjumpai apa-apa yang pelik.

Aku perhatikan Doktor masih tekun memikirkan kemungkinannya. Tiba-tiba doktor dapat rasakan sesuatu, dia seperti terkejut dan terus suruh aku menekan perut ibu. Benar! Aku sendiri dapat rasa dan pegang sesuatu seperti benjolan besar dan keras pada bawah pusat Ibu. Tadi tak jumpa apa-apa. Pelik! Serentak dengan itu aku terpandang wajah Ibu yang tengah tersenyum sinis. Seram bak hang!

Doktor meminta kami membawa Ibu ke hospital dengan segera. Doktor pun tak boleh nak diagnose apa-apa. Aku pun tak bertanya lebih lanjut lantas terus memecut ke hospital besar. Masih terkejut sebenarnya. Aku perhatikan Ibu yang berbaring disebelahku. Lain benar rupanya. Sebijik muka Arwah Opah cuma Ibuku agak berisi berbanding Opah. Melihatkan pandangan matanya yang meliar dan memikirkan raut senyumannya saat sakit tadi membuatkan jantungku berdegup kencang. Seriau!

Aku dan Along berkampung di hospital menunggu Ibu yang sedang dirawat. Semuanya selesai jam 5 pagi. Ibu dibenarkan pulang. Hasil ujian keluar, Ibu cuma didapati menghidap Kencing Kotor. What! This is unlogical. Benjolan di bawah pusat itu pun dah tiada. Doktor cuma cakap macam tu je. Tiada apa yang serius. BP (Blood Pressure) cuma naik sedikit disebabkan panas dalam. That's it! Kami dah fikir ada sesuatu yang pelik ni. Ibu pun dah sedar tak macam masa mula-mula sampai tadi. Ibu seperti bukan dirinya sendiri. Itu aku pasti!

Bersambung...

~Saya suka menulis.. sape tak suka baca, sila abaikan, istighfar dan pergilah makan nasi.. Jangan lupe bace “Bismillah”.. ~