Sudah lama ingin ku luahkan di sini, tentang apa yang terjadi pada diriku. Bukan untuk meminta simpati, cuma untuk berkongsi apa yang terjadi. Agar menjadi panduan pada mereka yang tidak tahu. Sesungguhnya aku sakit!
Sakit itu nikmat bukan? Bila aku sentiasa sihat, kadang-kadang aku takut Allah sudah tidak memandang kepadaku. Biarlah aku sakit sedikit agar aku lebih dekat dengan Allah. Sungguh! Aku takut terjadinya istidraj padaku. Bila Allah bagi nikmat dan kesenangan pada orang yang jauh dariNya. Itu bukan nikmat, tapi azab bila kita sentiasa berasa lega walau Allah tak redha. Wa nauzubillah..
Sesuatu yang agak peribadi untuk diceritakan di sini, tapi aku nekad agar orang-orang yang membaca sedar akan perkara ini boleh terjadi pada sesiapa saja dengan izin Allah SWT.
Ya, aku sakit. Sakit fizikal, mental dan emosi. Sejak bila aku sakit? Wallahua'lam. Aku tidak mahu menceritakan punca dan asbabnya cuma aku ingin berkongsi rasa dan pengalamannya.
Beberapa tahun yang lalu, aku ikut serta kakak ke suatu pusat perubatan islam. Semenjak itu, bermulalah pengalaman yang menduga ini.
Tahun demi tahun aku hadapi sendiri, berkat tawakkal pada Allah bantuan sentiasa hadir, keluarga jadi perisai, usaha yang tak henti, penat yang tak memandang, jemu kadang-kadang tapi Allah itu bukan kejam. Allah takkan berikan ujian diluar kemampuan hambaNya. Ujian pada setiap insan itu kan berbeza. Mungkin ini ujian aku. Aku redha.
Dan jangan kita lupa bersama ujian itu juga ada pertolongan dari Allah sepertimana yang dinyatakan di dalam Al Quran :
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
(Al-Baqarah: 214)
Berbalik kepada sakitku ini, padaku ia tiadalah apa-apa berbanding orang lain. Cuma makin lama dibiarkan ianya jadi lebih melarat. Aku jadi murung, pemarah, emosi tak stabil, pendendam, asyik menyalahkan orang lain, kadang - kadang rasa ingin menangis tak henti, rasa ingin lari jauh dari perasaan ini, tidur malam ku terganggu dan pernah suatu ketika aku tidak dapat tidur malam lagi. Insomnia. Aku takut untuk melelapkan mata, macam-macam perkara yang aku fikirkan. Mimpi ngeri jadi mainan tidurku. Aku terpaksa tidur dengan lampu terang. Kadang - kadang aku tak dapat bernafas bila mataku lelap. Sejak itu hidup ini kurasakan tidak aman lagi.
Tiada siapa yang memahami perasaanku waktu itu. Kawan - kawanku semua sudah menjauhiku. Hubungan dengan kawan yang paling rapat denganku juga sudah renggang. Pernah aku marahkan seseorang di pejabat hingga menyebabkan dia menangis, waktu itu aku dapat rasakan aku bukan lagi diriku yang sebenar.
Kesakitan ini berlanjutan. Badanku jadi lesu, bisa-bisa sendi, perutku paling bermasalah, bila sakit bulanan (period) ku hadir, sakitnya Allah sahaja yang tahu. Berguling di atas katil hinggakan tiap kali period hari pertama atau kedua aku terpaksa cuti sakit kerana tidak tertanggung rasanya. Bila cek doktor, buat ujian ultrasound doktor kata aku ada Endrometrosis (masalah berkaitan rahim). Pelik. Bila cek lagi untuk masa yang lain, doktor kata aku cuma menghidap gastric. Okay, aku terima dan makan ubat-ubatan yang dibekalkan. Sampai satu ketika aku dah putus asa dengan ubat - ubat tu semua, aku menghidap sakit kepala yang teramat. Migraine. Bila sakit kepala tu datang kepala jadi panas macam demam, berdenyut-denyut sehingga aku akan menarik-narik rambut menahan kesakitan. Tiada ubat bagi kesakitan ini, habis baik pun telan pain killer, bawak mandi atau cuma pejamkan mata agar aku dapat tidur bagi menghilangkan rasa sakit tu. Aku juga kerap pitam, sakit kepala, muntah - muntah, jantung berdebar laju, nafas makin pendek (semput), badan seram sejuk tak kira bila dan di mana. Kadang - kadang ia menyerang semasa memandu, berdiri dalam train, semasa berjalan pergi kerja, semasa buat kerja di hadapan PC, masa tidur, masa solat. Allahu. Itulah perkara paling dirisaukan keluarga bila aku bersendirian. Rambutku juga mula gugur, dari tebal jadi nipis hingga dapat dilihat perbezaannya. Kadang-kadang buat aku menangis melihatkan perbezaan diriku dari gambar-gambar lalu. Aku juga menghadapi masalah berat badan, doktor kata hormon imbalance. Berat badan naik 20kg dari dahulu, menyebabkan aku makin stress dan murung. Aku benci melihat diriku di cermin.
Semuanya menyebabkan aku hilang keyakinan diri. Pernah aku menganggur 3 bulan tanpa kerja kerana tiada keyakinan diri berdepan interview. Padahal aku bukanlah begitu. Bila dah dapat offer kerja, tiba - tiba ditarik balik. Dan lately perkara yang sama terjadi. Bila aku dah suka sesuatu kerja baru tu, dah discuss pasal gaji dan offer letter, tiba - tiba di suatu masa yang awkward, offer tu ditarik balik. Bila aku follow up, mereka janji akan advise back in a few more days tapi senyap sunyi hingga sekarang. Tak mengapalah, bukan rezekiku mungkin.
Sampai suatu tahap aku tidak mahu berjumpa orang. Sehingga aku memutuskan hubungan dengan lelaki yang sudah ku kenal hampir 2 tahun saat dia sudah menyuarakan hasrat untuk menghantar rombongan merisik. Aku nekad putus dengannya. Kasihan dia, aku terus diam seribu bahasa. Kejam juga waktu itu. Aku tolak semua usaha orang nak berkenalan denganku. Aku tutup pintu hati aku untuk sesiapapun. Walaupun orang lain begitu sibuk memikirkan status aku, aku sendiri tak ambil tahu..
Bersambung.....
(Apa yang aku ceritakan ini adalah rangkuman keadaan dan kesakitan yang aku alami, bukan secara details. Kalau ada rezeki aku sambung cerita ni ea..)
Jangan gusar dan takut, hanya Allah tempat kita berlindung.
Hasbunallah wanikmal wakil, nikmal maula wanikmannasir..
