Sepatutnya aku tiada mood pagi ini. Terlambat bangun sampai fajar dah meninggi. Terkocoh-kocohlah aku menunaikan kewajipan hakiki.
Bukan lagi Subuh Gajah, sudah Subuh Dinosaur dah ni.
“Astaghfirullahala’zim”
Aku beristighfar sendiri. Malunya pada diri. Selalunya aku tak macam ni, sejak mengenali dia, tidur malamku tidak lena lagi…aah sudah…
Sudahlah lambat bangun, sampaikan tak sempat untuk bersahur. Akibatnya, barukan jam 10.00 pagi perutku sudah berdendang lagu lapar. Sabarlah duhai perut, iftar lama lagi ni.
Mengingatkan perihal semalam. Melayan whatsapps dengannya sehingga jam 3.00 pagi. Alangkah manisnya jika aku berjaga untuk bersolat, bukan bermesej, melagha tak henti. Tapi perkara dah terjadi. Terlalu payah untukku menolak perasaan yang berbunga malam-malam buta ini. Sila jangan ulangi lagi please!
Janjiku pada diri sendiri.
****
Malam ini, dia mesej lagi. Dia kembali bertanya soalan-soalan biasa. Soalan yang sudah boleh ku teka.
“Dah sampai rumah?”
“Dah mandi?”
“Buka puasa apa tadi?” (sebabkan bulan puasa)
“Pergi tak solat Terawih tadi?” (sebabkan bulan puasa)
Nampak macam soalan biasa, tetapi disebabkan mesej itu datang dari Si Dia, dengan pantas aku membalas tanpa jemu. Dan ianya berlanjutan sehingga lewat malam seperti hari-hari yang lalu.
Ciss! Langgar janji lagi.
****
“Aina, kenapa dengan kau ni?”
“Termenung saja dari tadi?”
Nampaknya Muna perasan akan perubahanku dan kegusaranku saat ini.
“Entahlah Muna, aku risau, aku rasa berdosa.”
“Eh, kenapa pula ni. Cuba cerita.”
Muna mula risau mendengarkan kata-kataku.
“Aku rasa aku sibuk mengejar sesuatu yang aku tak pasti.”
“Dulu aku rasa aku dah ok sendiri, tapi bila pintu hati ni diketuk cepat sangat tersentuh.”
“Aku rasa lemah”
“Aku cepat rasa suka, rasa jatuh hati pada yang bukan hakku.”
Air mataku gugur satu–persatu. Muna mengangguk-angguk mendengarkan ceritaku. Dia lebih arif akan ceritaku yang lalu. Beberapa kali dikecewakan, beberapa kali bangun semula. Kini terjadi lagi. Sungguh. Dia simpati dengan sahabatnya ini.
****
“Allahuakbar. Sabarlah Aina.”
“La tahzan, Innallaha ma’ana.”
“Allah nak uji.”
“Aku tahu, kau lebih arifkan.”
“Aku tahu kau tak lemah macam ni.”
“Kau tahu mana yang salah dan mana yang betul.”
“InsyaAllah, minta kekuatan dari Allah.”
“Aku yakin kau dapat hadapinya.”
Muna mengusap bahuku. Meredakan tangisanku.
****
Dengan tekad yang tinggi, aku menjauhi diriku dari telefon bimbit itu. Tiada lagi mesej yang ku tunggu, tiada lagi hati yang tak keruan menanti, bermula pada malam itu dan malam-malam seterusnya lagi.
Aku kembali merindui Ramadhan yang bertamu. Mendekatkan diriku pada sejadah, melepaskan rindu pada Al-Quran. Mencari-cari malam Lailatul Qodar.
Syukur aku tersedar. Bulan Ramadhan ini terlalu istimewa kerana ia bulan Rahmat, bulan Maghfirah dan Pembebasan daripada Api Neraka. Bulan dilipat-gandakan semua pahala atas amal ibadah yang dilakukan. Inilah hadiah Allah SWT yang tiada dalam bulan yang lain.
“Alhamdulillah.”
Itu sahaja yang dapat aku ucapkan.
Luka yang lalu, terubat sendiri hari demi hari. Sebelum itu, kutinggalkan dia dengan mesej terakhir sebagai penutup kata. Andai dia faham, dia pasti boleh terima. Andai tidak, aku akan fahaminya.
Panjang mesej whatsapps ku padanya. Nasiblah percuma.
****
Assalamualaikum wbt.
Agak lama juga kita berhubungan. Bermesej siang dan malam. Semenjak awal tahun sehinggalah sekarang. Sebenarnya bukan ini yang saya inginkan. Saya tak pasti niat awak berhubungan dengan saya.
Tetapi, untuk pengetahuan awak, saya mencari bakal suami. Semalaman saya amati, saya takut saya terjatuh suka pada awak disebabkan cara kita bermesej ini. Siang dan malam kita berhubungan.
Kadang-kadang buatkan saya tertunggu-tunggu mesej dari awak. Nauzubillah.
Jujur saya katakan, awak sangat menarik perhatian saya. Jadi, saya tidak mahu perkara yang sama berulang kembali. Kenal seseorang. Kononnya nak kenal hati budi, mesej-mesej di Facebook, kemudian mesej di telefon, jumpa berdua dan akhirnya berpacaran sebulan dua, bila ada yang tak kena, hubungan terputus sebelum masa.
Astaghfirullahala’zim.
Sejujurnya, selama mana kita berhubungan dengan cara ini, kita takkan dapat mengenali hati budi kita yang sebenarnya. It can’t never be true me or true you. Disebabkan itu, sudah lama saya meninggalkan dunia-dunia lagha itu. Masa-masa jahiliyah yang lalu.
Sebenarnya, kebanyakkan orang yang saya kenal dahulu pun begitu. Ajak berkenalan, ajak berjumpa, ajak berpacaran. Saya sendiri tak pasti, mungkin mereka masih tak faham maksud taaruf yang sebenarnya. That’s why kebanyakkannya berakhir di mesej sahaja.
Saya sangat pasti, awak tak perlukan kawan seperti saya. Yang sekadar menemani awak di kala sunyi. Yang menjawab soalan yang sama saban hari.
Sebenarnya saya teramat penat dengan semua ini. Saya tahu Allah tak redha perbuatan saya yang lalu. Saya tidak mahu mengharapkan kasih sesiapa lagi.
Saya hanya berharap pada Allah yang menentukan jodoh saya. Jadi, saya tak nak memandai-mandai mencari jodoh melalui cara ini lagi. Jika Allah kata belum masanya, saya redha.
Saya tak nak jatuh hati pada orang yang bukan selayaknya.
Jadi saya memutuskan hubungan mesej kita di sini sebelum berlanjutan lagi. Awak sendiri maklum, kita tiada ikatan dan keperluan untuk bermesej selalu sebegini.
Andai awak ikhlas nk bertaaruf dengan saya, saya rasa awk tahu jalannya. Bukan jalan seperti ini, bukan dengan cara sebegini.
Saya harap awak tak salah faham. Saya takkan paksa awak berbuat sesuatu yang awak tak nak. Saya sekadar menegaskan pendirian saya. Kita sudah mengenali serba sedikit mengenai keluarga masing-masing.
Selebihnya awak fikirkanlah. Mungkin belum masa bagi awak agaknya. Wallahua’lam.
Saya sangat berterima kasih kerana awak sudah menemani saya sejak beberapa bulan ini, yang menghiburkan hati saya kebelakangan ni. Jazakallah khairan kathira.
Maafkan saya di atas segalanya.
Till then, take care awak
Saya tinggalkan awak di bawah jagaan Allah. Saya juga doakan awak berjumpa dengan apa yang awak cari selama ini.
Wassalam.
Dan semenjak itu dia terus diam membisu. Ya, walaupun aku sedikit sedih, tetapi aku redha akan pengakhiran kami sebegitu. Malah aku bersyukur kerana masih diberi kesempatan menjalani ibadah di bulan Ramadhan ini. Tahun depan belum tentu berumur lagi.
Hari ini tanggal 29 Ramadhan. Sedikit masa lagi, Ramadhan akan pergi. Sesungguhnya aku berasa amat sedih. Bulan ini yang mentarbiyah aku menjadi insan yang lebih baik. Bulan ini yang mendidik nafsuku agar lebih taat kepada Allah SWT.
Teringat akan tazkirah oleh Imam Terawih malam tadi.
“Penanda aras kejayaan kita samada berjaya atau tidak dalam melepasi ujian Allah SWT tiada lain kecuali kita mampu mendidik nafsu kita menjadi jinak kepada segala yang disuruh oleh Allah SWT. Dalam masa yang sama kita mampu meninggalkan segala larangan Allah SWT.
Jika gagal mencapai penanda aras ini bermaksud kita gagal mencapai matlamat bertaqwa kepada Allah SWT dan meneruskan kegagalan buat sekian kalinya dalam bulan Ramadhan ini kerana terus tunduk kepada kehendak dan kemahuan nafsu kita yang tiada batas itu walaupun dijelaskan kepada kita bahawa Allah SWT telah membelenggukan Syaitan yang menjadi nakhodanya.
Sesiapa yang masuk bulan Ramadhan dan gagal memperolehi rahmat dan keampuanan Allah SWT, bermaksud dia orang yang tertipu dan terpedaya.
Kenapa???
Sebabnya orang yang beriman akan berusaha memperolehi seberapa banyak kurniaan Allah SWT dalam bulan yang mulia ini sedangkan orang yang hanya berharap mendapatkan rahmatNya tetapi tidak pula beramal di dalamnya dan berangan-angan dengan rahmat dan ampunan Tuhan, itulah menipu diri sendiri namanya.”
Allahuakbar, jauhi aku dari golongan yang rugi.
Sedang aku sibuk mengemas, tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Mesej whatsapps masuk.
Jantungku berdegup kencang. Berulang kali kubaca bait-bait katanya untuk memastikan kesahihannya. Jika Muna ada disebelahku mahu sahaja kupinjam kaca matanya agar aku betul-betul yakin dengan ayat yang tertera itu.
Malam itu, ku panjatkan doa yang paling panjang pada Ilahi. Berkat Ramadhan yang berbaki ini, berilah aku petunjuk apa yang perlu aku lakukan.
”Ya Allah, jika dia adalah jodohku yang telah ditetapkan olehMu aku redha.”
Dan istikharahku memberi jawapan yang pasti.
Subhanallah. Ramadhan bertamu ingin mengundur diri. Kini datang pula Ramadhan yang dinanti.
Alhamdulillah. Firdaus Ramadhani akan datang bersama keluarganya raya nanti untuk menyuntingku sebagai surinya. Sesungguhnya aku benar-benar bersyukur.
Dan yang paling tak kusangka, nama penuhnya sebegitu. Ramadhan yang sangat kurindu, Ramadhani yang menyentuh sanubariku.
Jadi kepada antum yang membaca, hentikanlah berpacaran melagha dan bermesej tak tentu hala, kerana seseorang itu tidak mungkin menjadi dirinya saat dia berpacaran dengan kita. Kebanyakkannya hanyalah lakonan semata. Ayuh, hentikanlah membuang masa dan berbuat dosa, semoga Allah memberikan petunjuk dan hidayah kepada kita saat kita mengharap dan merayu cinta hanya dariNya.
Wallahua’lam.