Hasad dengki adalah sesuatu tindakan, perangai, kelakuan buruk yang ditegah agama tetapi sering ditayangkan di kaca TV. Lebih-lebih lagi dalam naskah drama-drama melayu. Setuju? You name it ada berapa drama Melayu yang ada element hasad dengki? tak terkira. Bila Melayu je mesti nak hasad dengki. Bila Melayu je, mesti nak PHD (Perangai Hasad Dengki) Setuju lagi?
Bukan niat nak jatuhkan bangsa sendiri tetapi inilah realitinya. Mentaliti kebanyakan orang kita, orang Melayu, orang Islam. Nauzubillah.
Apakah itu hasad dengki?
Imam Al-Nawawi rahimahullah dalam kitab Riyadhus Salihin di dalam bab Haramnya Hasad menjelaskan pengertian hasad iaitu mengharapkan hilangnya nikmat dari seseorang sama ada nikmat agama atau dunia. Seseorang itu dikatakan hasad apabila dia melihat suatu kelebihan yang ada pada orang lain lalu dia merasa iri hati, dengki atau tidak senang dengan kelebihan yang ada pada orang itu.
Kadangkala hasad ada dalam diri tanpa kita sedar. Apabila kita tidak suka melihat nikmat pada seseorang, hakikatnya maksud di sebalik perasaan itu adalah kita mengharap agar nikmat itu hilang dari orang tersebut, dan inilah yang diertikan dengan hasad. Tanya pada diri, pernahkan kita berasa sedemikian? Fikir-fikirkan dan muhasabah.
Orang yang hasad secara tidak langsung menolak takdir Allah SWT. Apabila orang itu benci apa yang ada pada orang lain, ini menunjukkan orang itu tidak menerima apa yang Allah takdirkan. Kerana apa juga yang berlaku dalam dunia ini adalah ketentuan Allah.
Sifat buruk orang hasad dapat diibaratkan sebagai bara api dalam jiwa yang memakan diri sendiri sedikit demi sedikit. Orang yang hasad terus merasa tidak senang dengan orang yang dia hasad itu dan terus mengawasi serta mencari-cari kesalahannya akibat perasaan tidak puas hati itu.
Orang yang berhasad dengki hidupnya tidak akan tenteram. Dia bukan sahaja dimurkai oleh Allah SWT, malah pemikirannya juga sentiasa bercelaru kerana asyik memikirkan ketidakpuasan hati terhadap orang lain. Sifat dengki akan mewujudkan permusuhan. Manusia seperti ini sentiasa merasakan dialah yang terbaik, jadi dia akan gelisah jika ada orang lain melebihinya.
Paling hina sekiranya dengki itu menyebabkan dorongan kepadanya melakukan sesuatu tindakan semata-mata untuk menjatuhkan orang lain, seterusnya boleh mengundang sifat mazmumah yang lain seperti fitnah-memfitnah, pergaduhan, pembohongan, putus silaturahim, penghinaan dan lain-lain. Malah tidak hairan jika sifat dengki juga boleh mengakibatkan pembunuhan. Semua kejahatan ini akan wujud ekoran dari perasaan hasad dengki selagi ianya tidak dijauhkan.
Firman Allah SWT, “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia mendengki.” (Al-Falaq: 5)
Orang yang hasad akan terus mendapat natijah yang buruk. Lebih buruk adalah sifat hasad yang ada padanya tidak akan mengubah takdir Allah. Akhirnya ia adalah sifat buruk yang membinasakan diri sendiri.
Nasihat para ulama, apabila seseorang itu dapati dirinya ada perasaan hasad, ubatnya adalah hendaklah cepat-cepat beristighfar serta mendoakan keberkatan (kebaikan) buat saudaranya itu. Daripada berharap agar kebaikan itu hilang daripadanya, lebih baik mendoakan agar kebaikan itu kekal dan semoga Allah melimpahkan keberkatan atasnya. Hal ini tidak akan memudaratkan, sebaliknya ia memberi manfaat kepada kita di sisi Allah.
Subhanallah, Allah adalah sebaik-baik perancang, percaturan Allah tak pernah salah. Kenapa perlu rasa tidak puas hati terhadap apa yang dikecapi oleh orang lain, sedangkan Allah sudah menulis setiap rezeki kita. Cukup-cukuplah bersakit hati.
Aku juga pernah dibayangi oleh orang yang berhasad dengki. Sehinggakan aku dianiaya dan disakiti. Tetapi itu tidak membuatkan aku rasa tersisih oleh rahmat Allah. Aku yakin ini ujian untuk aku dan ujian ini terlalu sedikit dan tidak setimpal dengan ujian orang-orang yang terdahulu. Allah uji sebab Allah sayang. Jadi, jangan pernah pertikaikan apa yang orang lain perolehi. Cuba ambil pendekatan mudah;
Kalau Allah lebihkan seseorang itu dari kita, ertinya Allah mahu menguji kita sama ada sabar dan redhakah kita dengan kekurangan yang Allah takdirkan. Dan kalau Allah lebihkan kita dari seseorang, ertinya Allah mahu menguji kita, bersyukurkah kita terhadap nikmat itu bukan sebaliknya sombong, bongkak, dan lupa diri sebagai hamba Allah. Nauzubillah hi minzalik.
Peringatan ini adalah untuk diri yang menulis dan anda yang membaca. Semoga Ramadhan ini membawa seribu keberkatan dalam kehidupan kita. Jom BERUBAH JADI BAIK.
~Salam 6 Ramadhan~


No comments:
Post a Comment