Bismillahirrohmanirrohim..
Mati. Sesuatu yang pasti berlaku kepada kita. Sesiapa pun tidak dapat menduga bilakah saat kematian mereka akan tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan 'menanti' saat kematian itu datang kepada mereka. SUBHANALLAH. Bila datangnya ajal seseorang itu, tidaklah dilambatkan atau dipercepatkan walau sesaat! Bersediakah kita?
Menyingkap kembali peristiwa trauma dan menginsafkan tempohari, bila melihat sendiri kematian dihadapan mata. Allah telah memilih aku untuk menyaksikan sakaratul maut yang paling mudah dan indah pada hamba yang Allah sayang. SUBHANALLAH. Aku pun tidak menyangka yang keadaan itulah dinamakan sakaratul maut kerana prosesnya tersangatlah mudah. Tak ubah seperti lelah, sukar untuk bernafas sahaja. Sepontan kami sahabat di sisi mengingatkan Kak Mas pada Allah. Membacakan ayat pelindung, membaca ayat-ayat penawar bagi membantu Kak Mas. Dalam pada masa yang sama, menafikan bahawasanya Allah nak ambil Kak Mas pada masa itu.
Tidak sama-sekali seperti yang digambarkan di kaca televisyen, manusia tercungap-cungap mengakhiri nafas dan begitu seksanya kematian yang terjadi di setiap episod Tanah Kubur. Namun pada pandangan mataku yang lagha ini, kematian itu cukup indah dan aman bagi hambaNya yang Dia sayang, sehingga kita tidak menyangka bahawa itulah sakaratul maut yang dikatakan itu. Memikirkan kembali, menyebabkan aku berdebar dan tersedu sendiri. Allahuakbar, Malaikat Maut sudah begitu hampir padaku yang membantu saat Kak Mas diakhir nafasnya. Bila pegawai kesihatan dari unit kecemasan datang untuk membantu, Kak Mas sudah tiada lagi. Aku sangat yakin akhir nafas Kak Mas pada masa kami mendakapnya itu, semasa dia seakan lelah, kami menggosok-gosokkan dadanya, mengingatkan dia pada Allah, nafasnya berakhir di situ.
Sehinggakan semasa urusan terakhirnya juga Allah mudahkan sehingga ke liang lahad. Begitu Allah jaga hamba yang DIA sayang. Allahurobbi, tak perlu melihat kisah lain. Dihadapan mata, orang biasa seperti kita juga boleh mendapat Rahmat Allah. Marilah kita sama-sama memperbaiki diri kita sebelum kematian datang kepada kita.
Firman Allah s.w.t.yang bermaksud : "Apabila nafas (seseorang) telah sampai ke kerongkong, dan dikatakan kepadanya, "' Siapakah yang dapat menyembuhkan'. Dan dia yakin bahawa sesungguhnya itulah waktu perpisahan dan bertaut betis kiri dan betis kanan, kepada Rabbmulah pada hari itu kamu dikembalikan." (Surah al-Qiyamah ayat 26-30).
Allah SWT juga berfirman dalam Surah Al-Anbiya, ayat 35:
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
Ertinya:
"Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan".
Aku terbaca di Facebook TeamFateh mengenai tujuh amalan atau persiapan yang perlu kita lakukan sebelum ajal datang menjemput. Mari aku kongsikan sekali lagi.
1. Memperbanyakkan Bertaubat Dan Beristighfar Kepada Allah SWT.
Rasulullah SAW pernah menasihati umatnya agar sentiasa bertaubat kepada Allah SWT : "Sesungguhnya Allah SWT masih menerima taubat hamba-Nya sebelum rohnya sampai ke tenggorokan " (HR at-Tirmidzi).
Sabda Rasulullah SAW yang lain bermaksud :
"Orang yang bertaubat dari dosanya adalah seperti orang yang tidak punya dosa". (HR. Ibnu Majah) .
2. Betulkan Ibadah Sholat Kita Dan Belajar Untuk Lebih Khusyuk.
Jangan kita selalu melambat-lambatkan sholat bagi lelaki cuba solat berjemaah di masjid atau di surau. Solat adalah amalan yg pertama disemak di hari akhirat nanti jika sholat diterima maka amalan lain juga akan diterima.
Daripada Abu Hurairah, katanya bahawa Rasulullah SAW bermaksud:
"Sesungguhnya amalan yang mula-mula sekali dihisabkan seseorang pada hari kiamat mengenainya ialah solatnya, jika solatnya diterima, maka sesungguhnya beruntung dan berjayalah ia. Jika solatnya tidak diterima, maka kecewa dan rugilah ia. Jika terkurang daripadanya solat fardu sesuatu. Allah SWT berfirman: 'Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai sholat-sholat sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang daripada solat fardu. Demikianlah keadaan amalan lain."(HR At-Tirmidzi).
Ini salah satu cara untuk aku memperbaiki solatku. Buku ini aku beli online dalam bentuk E-book namun aku cetak supaya memudahkan aku untuk membacanya. Jom usaha dengan pelbagai cara agar solat kita khusyuk dan diterima.
3. Menyelesaikan Semua Hutang-hutang.
Roh seorang Mukmin yang beriman atau pun roh seorang syuhada akan tergantung diantara langit dan bumi kerana hutangnya yg belum diselesaikan. Jangan tangguh-tangguh untuk membayar hutang. Apabila mempunyai wang yang cukup terus membayarnya.
Salah satu perkara yang sangat menakutkan apabila hutang itu tidak dapat diselesaikan ialah bilamana orang yang masih menanggung hutang itu mati atau meninggal dunia dalam keadaan hutang yang belum habis diselesaikan. Anak-anak , isteri dan waris-waris pula tidak tahu ataupun tidak mahu bertanggung jawab untuk menyelesaikan hutang si mati di mana mengikut hadis org yg mati sedangkan ia masih berhutang maka rohnya terapung-apung dilangit dan semua amalannya tergantung.
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW maksudnya : "Roh seseorang Mukmin itu tergantung-gantung (dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan.''(HR. Al-Tarmizi).
Doakan perniagaanku berjaya dan aku memperoleh wang yang cukup untuk membayar semua hutang-piutangku. Pertama sekali aku berusaha untuk melangsaikan hutang pendidikanku yang bertahun aku tinggalkan kerana berfikir bahawasanya itu bukan hutang wajib kerana ianya adalah kewajipan pemerintah menyediakan pendidikan kepada rakyat. Dan sesungguhnya aku berhutang duit rakyat. Betapa jahilnya pemikiranku waktu itu. Nauzubillah. Semoga aku sempat lunaskan semua hutang-hutangku yang lain.
4. Perbanyakkan Sedekah Jariah.
Termasuk dalam kategori sedekah jariah ialah harta yang diwaqafkan, termasuk tanah, rumah, kebun atau lain-lainnya untuk dimanfaatkan oleh orang lain. Misalnya, seseorang mewaqafkan bangunan untuk dijadikan sekolah, asrama, hospital, masjid dan yang seumpamanya.
Mendirikan bangunan untuk kepentingan awam yang dihalalkan Islam juga dikira sedekah jariah. Selagi harta benda yang diwaqafkan itu masih wujud dan dinikmati faedahnya olah umum maka tuan punya harta itu akan mendapat pahalanya berterusan semasa ia hidup dan sesudah ia mati.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak yang solih yang berdo'a untuknya.” (HR. Bukhari dan Muslim).
Doakan aku juga turut menjadi orang yang cintakan amal jariah. Sesungguhnya amalan ini berat dilakukan di bulan lain kecuali bulan Ramadhan. Marilah kita berdoa agar kita istiqomah bersedekah.
5. Menuntut Ilmu Yang Bermanfaat.
Ilmu yang dapat dimanfaatkan maksudnya ilmu yang diajarkan ketika seseorang itu masih hidup dan ia kemudiannya dimanfaatkan pula oleh orang lain, maka pahala mengajar itu berterusan selagi orang yang menerima ilmu itu mengamalkannya.
Pahala diterima oleh mereka yang menyebarkan ilmu berkekalan hingga hari kiamat selagi manusia dapat manfaat daripada ilmu yang diajarkan itu. Ilmu yang disebarkannya itu, sama ada melalui syarahan, penulisan kitab, akhbar atau majalah atau apa-apa rakaman yang dapat dirujuk dalam bentuk cetak dan elektronik maka ia mendapat ganjaran berkekalan.
Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah SAW. bersabda maksudnya :
"Sesiapa yang mengajak ke jalan hidayah, maka baginya dari pahala seperti pahala (sebanyak pahala) pengikutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dari pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak ke jalan sesat, maka menanggung dosa sebanyak dosa-dosa pengikutnya, dengan tidak mengurangi dari dosa-dosa mereka sedikit pun". (HR. Imam Muslim).
Di Blog ini juga aku mengharapkan setiap perkongsian aku dijadikan penghubung ilmu dan dimanfaatkan selepas ketiadaanku. Banyak perkara aku kongsikan di sini. Walaupun aku bukanlah seorang alim ulama' atau orang yang selayaknya memberi ilmu. Namun aku harapkan kebaikkan dipulangkan bagi yang membaca dan mempelajari sesuatu dari blog ini. Semoga ianya menjadi sumber ganjaran kebaikkan padaku nanti.
6. Anak Yang Sholeh Yang Mendo'akan Kedua Ibu Bapanya.
Anak yang dididiknya ketika hayatnya hingga menjadi orang soleh dan sentiasa mendo'akan kesejahteraan ibu bapanya sesudah meninggal dunia.
Do'anya itu bukan sahaja rahmat kepada kedua ibu bapanya yang masih hidup atau yang telah mati, tetapi akan membawa kebaikan dan pahala yang besar kepada anak itu sendiri.
Sungguh beruntung anak yang sentiasa mengingati kedua ibu bapanya dengan mendoakan mereka selepas mengerjakan solat dan semasa berada pada hari baik bulan baik atau semasa berada di tanah suci yang sangat berkat dan mustajab doa padanya.
رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيْرًا.
"Ya Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku serta cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
Sebab itu eloklah ia mengakhiri doanya dengan menyebut:
وَلِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ.
"Dan ampunilah dosa-dosa orang-orang Islam lelaki dan perempuan; dan dosa orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan; yang hidup dan yang mati. Dengan kelimpahan rahmat-Mu wahai Tuhan yang tidak ada taranya tentang limpahan rahmat-Nya.
Di dalam Syurga, seseorang diangkat darjatnya oleh Allah SWT lalu dia bertanya kepada Allah: “Ya Tuhanku, bagaimana saya mendapat darjat kebesaran ini?”.
Firman Allah SWT bermaksud : “Ini disebabkan do'a anakmu yang memohonkan keampunan bagimu.” (HR. Imam Ahmad).
Bab ni aku sedikit sedih kerana aku masih belum berkahwin dan perkahwinan itu sangat jauh dari jiwaku. Aku pun tak tahu perancangan Allah padaku. Adakah aku mempunyai zuriat atau tidak. Bagi yang tiada zuriat walaupun sudah berkahwin atau tidak berkahwin bukan penghalang bagi kita mendapat redha Allah atau diangkat darjatnya di sisi Allah. Allahyarhamah Kak Mas pun tidak berkahwin, namun Allah beri dia kematian yang indah, Husnul Khotimah. Itu sudah cukup memberi jawapan pada aku yang berteka-teki dengan ketentuan Allah. Benarlah yang dikatakan, Soal Rezeki, Jodoh, Hidup Mati itu kerja Allah. Allah Yang Maha Tahu setiap yang tertulis pada perjalanan hidup kita. SEGALA sesuatu yang terjadi di muka bumi ini adalah ketetapan Allah SWT termasuklah segala perkara baik atau buruk, hidup atau mati, semuanya menjadi bukti kebesaran-Nya.
7. Meminta Maaf Kepada Semua Orang Yang Kita Pernah Melakukan Kesalahan Kepada Mereka
Tidak perlu menunggu Hari Raya. Dosa mengumpat, memfitnah, menyakiti hati orang dan mengambil hak mereka. Jika kita telah terambil hak atau barang-barang mereka maka pulangkanlah dan memohon dan maaf kepada orangnya.
Anak segeralah memohon ampun kepada kedua ibu bapa. Isteri hendaklah segera memohon ampun kepada suami. Murid hendaklah memohon kemaafan kepada guru-guru. Kita hendaklah memohon maaf kepada saudara-mara, jiran tetangga, sahabat handai, rakan sekerja dan sesiapa saja yang kita rasa telah melakukan dosa kerana Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa yang dibuat sesama manusia.
Firman Allah SWT maksudnya : “Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam jema’ah hamba-hamba-Ku. Masuklah ke dalam Syurga-Ku” (Surah Al-Fajr ayat 27-30.
Dari Abu Ya'la Syaddad bin Aus ra. dari Nabi saw, beliau bersabda: Orang yang CERDIK ialah orang yang selalu menjaga dirinya dan beramal untuk bekalan sesudah mati. (HR Tirmidzi)
Allah SWT berfirman dalam surah Surah Ali-Imran, ayat 185:
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
Ertinya:
"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya".
Marilah kita melazimi sifat meminta maaf ini. Pada permulaannya memang sukar kerana kadang-kadang sifat ego itu menebal sehingga menghalang kita merendahkan diri meminta kemaafan jika membuat kesilapan. Sifat ego inilah yang merosakkan hati kita. Marilah kita berdoa agar Allah jauhkan sifat ego, sombong, takabbur dan ujub yang boleh menggelapkan hati dan menghalang Hidayah Allah pada kita. Nauzubillah.
Ya Allah jadikan kami hamba yang beriman kepada-Mu. Dan matikan kami sebagai matinya orang yang beriman kepada-Mu. Mudah-mudahan hidup kami sentiasa mempersiapkan diri untuk menghadapi datangnya kematian yag akan datang kepada kami bila-bila masa sahaja.
Aamiinn Yaa Robbal 'Aalamiin !!!!!

