Sunday, December 22, 2019

Seorang Sharifah Tanpa Syed


Alhamdulillah, dapat lagi peluang menulis di blog sepi ini. This is like my therapy during hectic time. Funny is, I still got time to write something for myself and hopefully it would be helpful for others who is reading my blog, InsyaAllah.

Alhamdulillah, #throwback aku dan adik-beradikku telah duduk berkumpul bersama sempena Hari Raya AidilAdha yang lalu. Rezeki kami dapat berjumpa raya ini, setelah tidak dapat beraya bersama sewaktu Aidilfitri. Sementelahan kami duduk bersembang, keluarlah macam-macam cerita kenangan lama. Cerita masa kecil-kecil, cerita kelakar, cerita hantu, dan macam-macam cerita yang tak pernah didengar pun ada. kami masih beruntung punya ibu lagi untuk bertanya. Walaupun Ayah dah tiada, cerita-cerita ayah tetap kami ingat. Ayah seorang yang suka bercerita pada anak-anak. Selalu bagi tazkirah usai solat maghrib, bagi nasihat tiap kali talifon, dan bila petang-petang, kami suka duduk bersembang dan ayah akan bercerita kisah dia dulu kala, kisah keluarga, kisah masa dia muda-muda dan macam-macam cerita. Namun tetap ada sesuatu yang kami tak sempat bertanya lebih lanjut. Perkara penting dalam hidup kami, tentang nama, tentang susur galur kami.

Memang rugi, sebab waktu tu tak terfikir pula Ayah akan pergi secepat itu. Dan kasih sayang yang dicurah pada kami tidak membuatkan kami bersoal lebih tentang benda yang agak remeh pada kami.
Aku masih ingat, dan ianya juga terjadi pada setiap adik-beradikku yang lain. Bila memperkenalkan diri di sekolah, dalam kursus/ kem, di mana-mana. Lantas, orang akan bertanya.

Aku : "Sharifah ....... Binti .....( tanpa Syed) ......... (nama Ayah)"
Orang : "Sharifah, Al apa?" / "Kalau Sharifah, Syed apa?"
Orang : "Eh, biasa kalau nama Sharifah mesti binti Syed/Sheikh"

Setiap adik-beradik perempuanku mempunyai nama "Sarifah/Sharifah" di depan. Nama abangku bermula dengan "Wan" didepan, lagi la pelik. "Wan .......... (namanya) Bin (tanpa Syed/Wan) .......(nama Ayah". Sedangkan Ayah dan ibuku tidak membawa nama Syed/Sheikh mahupun Sharifah/Syarifah. Apatah lagi Wan atau Megat. Kadang-kala kami sudah lali dengan soalan yang tiada jawapan konkrit dari kami. Kami cuma pernah mendengar yang Ayah mendapat mimpi supaya menamakan kami dengan nama sedemikian. Alhamdulillah, walaupun begitu, nama-nama kami semua mempunyai maksud yang baik.

Ada apa dengan Nama?

Anda rasa, penting tak nama tu pada kehidupan kita? Of course la! Setiap kali orang memanggil nama kita yang baik, seolah-olah mendoakan kebaikkan juga. Sebab tu, kalau nama kita bermaksud buruk dan perkara tak elok, sebaiknya tukar dengan segera. It will effect our live as well. Pernah masa sekolah dahulu, di sekolah kami ada seorang murid yang punya nama bermaksud buruk / tidak elok. Tidak dipastikan adakah ayah ibunya tersalah pilih nama, atau ejaan namanya yang tersalah diletak dalam IC masa pendaftaran JPN. Namanya bermaksud salah satu nama Neraka (nauzubillah), maka cikgu pun suruh tukar dengan segera. Sebelum menukar nama, pelajar itu salah seorang remaja yang bermasalah. Namun, setelah namanya ditukar kepada makna yang baik, Alhamdulillah banyak perubahan dilihat pada akhlaknya. MasyaAllah, begitu penting nama bagi kita kan?

Ok, berbalik pada namaku. Seseorang itu tidak boleh menggunakan nama Syed / Sharifah jika bukan bernasab (berketuruan) dari susur galur Syed / Sharifah. Tapi yang pasti, tidak tertulis pun dalam perlembagaan. hahaha..So, everyone boleh je bubuh nama apa-apa sahaja. Sebab itu ada orang nama Tengku/ Puteri/ Raja/ Megat / Wan/ Nik bahkan Syed dan Sharifah tanpa ada sebab nasab. Tapi bagi orang yang berilmu, bukan sewenang-wenangnya boleh meletak pangkal nama dengan nama-nama seperti ini kerana gelaran ini sepatutnya berkait dengan keturunan dan susur galur keluarga masing-masing. Tak sempat nak kaji pasal nama-nama yang lain tapi memang ada penerangan tentang asal nama-nama gelaran ini.

Dari mana Syed / Sharifah ni? Dikatakan, Syed dan Sharifah adalah berketurunan Nabi Muhammad SAW dan merupakan golongan Ahlul Bait. Allahu, takut bila dengar tentang kenyataan ini. Besar tanggungjawab nak menjawab di akhirat nanti. Adakah benar mereka yang mengkaji ini punya susur galur dari nasab Rasul Mulia, Rasulullah SAW. Jangan main - main, besar dosanya mengaku punya nasab tapi sebenarnya tidak. Namun, golongan ini mungkin punya bukti dan kajian terhadap pengakuan mereka. Tambahan pula, kebanyakan golongan ini mempunyai salasilah keluarga sebagai bukti untuk menghubungkan keluarga mereka dengan cucunda Rasulullah SAW sekaligus dengan Rasulullah SAW sendiri. Wallahua'lam, aku bukan orang yang mengkaji hal nasab ini, aku pun tak tahu. Dan jangan bercakap perkara yang kita tak tahu.

Namun, ada juga golongan yang sangat taksub dengan susur galur ini sehingga menghinakan orang lain. Ada yang menentang perkahwinan yang bukan sekufu kerana bimbang tidak lagi dianggap mulia kerana tidak boleh menyambung nasab. Ada pula yang taksub sehingga lupa pada kewajipan kita sebagai makhluk biasa. Allahuakbar. Jadi, sedarlah wahai Syed dan Sharifah yang sebenarnya kamu tiadalah beza dengan mereka yang bukan Syed dan Sharifah melainkan jika kamu bertaqwa (takut) kepada Allah. Jadi tidak perlu dibezakan antara mereka yang Syed atau Sharifah dengan mereka yang bukan. Jangan dilarang perkahwinan antara keduanya dan jangan taksub kepada mereka kerana semua ini bertentangan dengan ajaran Islam.

Tetapi mereka yang berketurunan Syed dan Sharifah harus ingat yang mereka mesti berkelakuan sebagaimana yang selayaknya diperlakukan oleh seorang Muslim supaya kamu tidak memberi cemar kepada nama Ahlul Bait yang selama ini disanjung tinggi oleh seluruh umat Islam. Walau sesiapa pun kita, walau bukan golongan Syed/ Sharifah, kita mesti menjaga akhlak kerana kita adalah duta pada Agama kita. Akhlak baik yang kita tunjukkan akan membawa lebih ramai non-Muslim dekat dengan Islam. Setuju?

Ok, berbalik kepada cerita namaku. Diceritakan oleh orang-orang yang terdahulu. Bapa kepada Ayahku adalah berketurunan Mendailing, berasal dari tanah seberang (di mana? jangan tanya aku) Pernah dengar tak nama-nama seperti Harahap, Siregar, Nasution dan sebagainya. Bapa kepada ayahku iaitu Nenek - panggilan pada kami adalah bersusur galur dari Harahap dan Opahku (Ibu kepada Ayah) adalah bersusur galur dari Nasution. Diceritakan, kerabat Nenek ini berketurunan di Raja (jangan kata aku poyo pulak) namun kerana pertelingkahan keluarga (mungkin juga kerana peperangan kerana terdapat bukti sejarah telah berlaku peperangan menentang kaum bukan Islam orang Batak-Mendailing beragama Kristian yang berniat jahat terhadap orang - orang Mendailing asal yang pada keseluruhannya beragama Islam. (Perang Padri kalau tak silap namanya). Oleh kerana peristiwa itu, sebahagian mereka berhasil membawa diri dan merantau ke sini. Mereka ni saudagar, memang pandai berniaga. Sampai di sini, membuka tanah dan membuat kebun dan sawah. Nenekku seorang yang berharta. Sewaktu kecil Along (Kakakku yang sulong) pernah terlihat dan bermain-main dengan alat seperti cokmar berwarna emas di dalam bilik Nenek.  Ada juga yang berbentuk seperti cogan / logo juga berwarna emas. Yang ni aku pernah terjumpa sewaktu bermain-main dalam bilik Opah. Nenek telah meninggal dunia semasa aku lahir. Tak sempat aku nak mengenali Nenek. Tapi dia sangat rapat dan sayang pada Along kerana Along adalah cucu sulongnya. Al - Fatihah buat Nenek yang tak pernah ku kenal. Dikatakan Allayarham Nenek juga membawa gelaran Syed ini tetapi sudah tidak dipakai pada namanya. Kerana apa? Mungkin ingin memutuskan pertalian dengan keluarganya dari sana. Namun, aku pun tidak pasti. Bila tiba pada Ayah, aku tak pasti kenapa Ayah memakaikan kami gelaran itu kembali. Ayah pernah bercerita yang Ayah mendapatkan nama kesemua kami daripada mimpinya dan menamakan kami sedemikian rupa. Jadi aku pun bernama Sharifah ....... Binti .....( tanpa Syed) ......... (nama Ayah).

Setelah cerita itu berakhir di situ, kami melihat dari sudut yang berbeza pula. Kami menyelidiki susur galur keluarga sebelah ibuku pula. Ibuku punya darah keturunan dari tanah Arab. Allahyarham Atuk juga mirip orang Arab, tampan, tegap dan tinggi, kulit cerah kemerah-merahan, hidung mancung, anak mata coklat/kelabu. Diceritakan dahulu, Bapa Atukku adalah seorang saudagar Arab yang kaya, merantau ke tanah Melayu untuk berniaga dan berkeluarga. Dia juga punya keluarga di negara asal yang tidak pernah kami ketahui. Dia juga dikhabarkan punya keluarga lain di tanah seberang yang juga tidak pernah kami ketahui. Arwah moyang kami dikhabarkan hilang kerana diculik orang kerana beliau seorang yang kaya sehingga tidak pulang-pulang lagi menemui keluarganya lagi. Mungkin juga Arwah moyangku membawa nasab Syed/ Sheikh ini. Yang kami ketahui namanya cuma Hj Taib. Kehidupannya, peribadinya tidaklah diketahui kerana Atuk tidak pernah bercerita tentang Arwah bapanya itu. Cerita yang kami dengar adalah dari orang-orang yang terdekat yang lain. Ada juga paras rupa persis Arab turun pada Pak Cik dan Mak Cikku dan juga sepupu-sepupuku. Aku? Entahlah, mungkin ada sedikit.😅. (nak jugak)

Kesimpulannya, aku dah tak nak mencari lagi. Pencarian kami ini membuka pelbagai misteri, dari yang nyata kepada yang mistik. Pelbagai cabaran dan ujian dilalui demi pencarian ni. Kini, biar sahajalah pencarian ini terhenti setakat ini. Aku serah sahaja pada Allah mengenai asal usulku. Kerana aku yakin, yang penting adalah pengakhiran seseorang. Bukan di mana dia bermula. Sama ada Sharifah/Syarifah kah? Syed/Sheikh kah? Tiada bezanya pada pandangan Allah. Apa yang membezakan taraf kita  di sisi Allah adalah Taqwa. Membawa nama Sharifah/Syarifah itu tidak menjadikan kami istimewa. Dengan nama itu tidak membuatkan kami terlepas dari berbuat khilaf dan dosa.

Wallahua'lam.
Tulusly,


Dari seorang Sharifah Tanpa Syed. 

No comments: