Aku turut berduka atas berita kematian yang kita dengar baru-baru ini.
Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un
Melihatkan keluarga, anak isteri, sahabat handai yang kehilangan orang yang mereka sayang, amatlah perit. Antara kita juga mungkin ada yang dapat merasakan kesedihan andai kita juga pernah merasakan kehilangan orang yang kita sayang, tetapi ianya tak mungkin sama dengan apa yang mereka rasai ketika ini.
Aku mohon agar semua orang menghormati perasaan setiap dari kita. Biarlah sahabat-sahabat itu mengambil masa untuk menenangkan diri, mengimbau kenangan dengan menghantar status / post berkenaan sahabat baik mereka. Mereka bukan tak redha, tetapi cuma rindu. Kalau anda perasan, aku pun kerap menulis berkenaan Ayah, aku bukan tak redha, aku cuma mengimbau, cuma rindu. Bayangkan kita sudah tidak dapat menatap wajah orang yang kita sayang. Kita hantar mereka ke liang lahad untuk mereka meneruskan perjalanan mereka ke kampung abadi. Kita cuma akan dapat berjumpa mereka nanti di Syurga InsyaAllah. Allahu kita rindu. Hanya orang yang pernah kehilangan akan mengerti.
Sama juga dengan hubungan adik beradik. Kerap kali aku lihat netizen ni mempertikaikan status yang dimuat naik oleh sebuah keluarga di UK yang kehilangan ahli keluarga yang mereka sayang. Terlalu sayang. Harap netizen faham yang keluarga ini telah kehilangan anak, adik, pakcik yang mereka kasihi. Berilah ruang untuk mereka. Kalau tak suka, janganlah follow IG/FB mereka semata-mata ingin menulis ruangan komen dengan nada ingin mengingatkan mereka. Mereka tahu, mereka perlu waktu. Jagalah adab sesama kita.
Baru kelmarin, kita mendengar lagi berita kematian seorang selebriti. Selalunya selebriti lah yang kita ketahui kerana berita mereka memenuhi akbar. Aku sempat menonton video update pemakaman Allahyarham dari seberang. Wartawan berasak-asak mengambil gambar, gambar sugul, gambar ratapan, tangisan mereka. Adakah tiada sesiapa pun merasakan yang selebriti itu juga manusia biasa. Mereka perlu waktu untuk bertenang, bersedih dan bersendiri tanpa ada sesiapa pun menonton kerana itu bukan sinetron, itukan kisah hidupnya dia. Sedih rasanya.
Jesteru, marilah kita sama-sama menyedekahkan Al-Fatihah buat orang-orang yang sudah pergi mendahului kita. Mari baca bersama, Bismillahirrohmanirrohim
Hari ini kita dengar berita kematian orang. Esok-esok berita kematian kita pula yang didengar.
Mati itu pasti. Noktah.


No comments:
Post a Comment