Bismillahirrohmanirrohim..
Salam ke 28 Ramadhan kepada semua yang
singgah di My Secret Shifter, my personal blog where I usually updates
and shared my stories, my taught, my ideas and the journal of myself while I'm
still here breathing in this Dunya. So, I thought of sharing very personal
story between me and my siblings.
Here it goes..
Aku mempunyai 2 orang kakak dan seorang abang.
Cuba teka aku anak yang ke berapa? Hah, macam IQ test tak? 😝
Dah dapat jawapan?
Sebenarnya aku dan adik-beradik aku
ada gap umur yang besar. Kami dulu ada dua Geng. Geng Dah
Besar dan Geng Kanak-Kanak Ribena. Along (kakak Sulong) dan Benja (Abang
ke dua) lahir di awal tahun 70an. Manakala Ude (Kakak ke tiga) dan Aku lahir
dalam tahun 80an. Lebih 10 tahun gap
antara Benja dan Ude tetapi itu tak menjadikan hubungan kami jauh terpisah.
Seawal ingatan aku di masa kecil (antara memori yang masih aku ingat adalah
seawal usia 5 tahun). Along dan Benja sudah pun meninggalkan rumah untuk
menyambung pengajian mereka. They were
hardy at home! Yelah, bayangkan 10 tahun gap. Along sudahpun melanjutkan
pengajian di UiTM Shah Alam dan Benja masih berada di Sek Men Teknik
(Vokasional) di pekan Teluk Intan. Bila waktu cuti panjang sahaja mereka akan
pulang ke rumah.
Mereka berdua Geng Dah Besar ni kuat
mengusik adik-adik. Main tu kalau sampai tak menangis, tak sah! Yang selalu
jadi bahan adalah Ude sebab dia kuat menangis. Mak aku dah lali dah dengan
perangai kami adik-beradik. Walaupun kuat mengusik, mereka jugalah yang menjaga
kami, memberi teladan yang baik, memberi benchmark untuk kami mengikuti
langkahnya, membantu kami buat kerja sekolah, mengajarkan kami pelbagai
perkara, melayan kami bermain (main bunga api, mercun, boardgame, main batu seremban, main domino, main kad, teka-teki, aci kejar, zero point dll), menghantar kami ke sekolah, membelikan kami
permainan, alat tulis, memujuk kami bila kami merajuk diusik, dan yang pasti
menyayangi kami sepenuh hati. Itu pasti!
Kasih sayang itu meresap ke dalam hati.
Bila ada, riuh satu rumah, bergaduh, menangis, berlari, berkejaran,
bergelak-ketawa. Bila tiada, dirindui, ditunggu-tunggu kepulangan mereka.
Lagilah bila dah nak raya. Pernah aku ingat, tiap kali Along ingin pulang
kembali ke kampus, kami akan menangis di bilik sebab sedih Along dah tiada di
rumah nanti. Begitu juga dengan Benja, kami akan monyok seharian kerana Benja
dah nak balik asrama. Begitulah kasih sayang antara kami.
Biarpun begitu, kami tetap pernah melalui
masa getir waktu kami membesar dahulu, Allahyarham Ayah aku pernah berkahwin
dua, masa tu hidup macam kami jadi gundah gulana. Seingat aku, aku masih berada
di darjah 2, Ude berada di darjah 4. Beza umur kami cuma 2 tahun. (Cerita ni
bukan bermakna aku nak aibkan ayah yang dah tiada, cuma nak kongsikan ikhtibar
sahaja). Sewaktu Allahyarham Ayah berkahwin dua, aku masih belum memahami
keadaan itu, tapi aku tahu Ayah dah jarang berada di rumah (balik ke rumah yang
kedua). Aku perasan ketiadaan ayah bila nak minta tandatangan apa-apa borang sekolah,
Ayah mesti tiada. Last-last mak yang sign sebab borang tu dah pending lama. Pernah sekali dua Along
yang sign borang dan kad laporan
(tiru signature Ayah..haha). Keadaan
Ayah yang tiada di rumah tu sangat ketara sehingga nak minta duit belanja pun
susah, apatah lagi nak minta apa-apa. Ayah pula seorang yang garang. Tiada siapa
pun berani menegurnya ketika itu (Semoga Allah mengampunkan Ayah).
Tapi kami rasa kuat nak hadapi masa itu
kerana ada Along dan Benja yang membantu Mak, memahamkan kami keadaan dah
berubah. Mengisi kekosongan Ayah dengan membantu Mak dan kami dalam kehidupan.
Keadaan itu berlanjutan beberapa tahun sehinggalah ayah jatuh sakit. Ayah sakit
dalam tempoh yang lama, juga sehingga beberapa tahun.
Sewaktu Ayah sakit berulang ke hospital,
baru Ayah mengerti siapa yang benar-benar sayangkannya dan siapa yang hanya sayangkan
hartanya. Habis semua simpanan Ayah kerana Ayah tidak dapat bekerja. Hospital pula dah jadi rumah keduanya. Aku masih ingat kerana
kesusahan nak mendapatkan bas untuk ke hospital, Mak sanggup mengayuh basikal
dengan jaraknya lebih 20km dari rumah kami. (Semoga Allah merahmati Mak).
Berhujan berpanas Mak ke sana. Bila Along
dan Benja kembali ke kampus dan bekerja, kami pula hidup berdikari sendiri. Menumpang
jiran dan saudara. Walaupun kami hanya tumpang tidur malam sahaja (Mak dah siap masak untuk makan, Mak cuma risau meninggalkan kami di malam hari) ada juga suara-suara yang kata kami ni menyusahkan mereka.
Semua itu terpaksa kami hadam sendiri. Ada kala, kami dah bosan nak menumpang
rumah saudara atau jiran, kami tidur sendiri di rumah. Saudara sangka kami ke rumah jiran,
jiran sangka kami ke rumah saudara. Yang penting kami tak susahkan orang. Masa tu
kami berdua masih bersekolah rendah lagi. Malam-malam bila nak lelap menangis
rindukan Mak, rindukan Ayah. Ude yang pujuk aku. Ude yang jahitkan baju PJ aku
yang terkoyak. We take care each other. Masa
tu aku tak pasti apa pula keadaan Along dan Benja. Pastinya berendam air mata juga.
Ibu tiri kami pernah membuat kekecohan di
hospital kerana ayah sakit dan tidak memberikannya wang berlanja. Dia juga pernah datang menyerang Along di kampus kerana anaknya juga belajar di kampus yang sama. Ayah yang
terlantar sakit itu tak dipedulikannya langsung. Along dan Benjalah yang
menghadapi keadaan getir itu, mereka sentiasa berada disamping Mak memberikan
Mak semangat. Pelbagai peristiwa terjadi, hubungan renggang, pergaduhan,
perselisihan faham dan Benja seakan membawa diri merajuk dengan Ayah. Mak yang
mempersiapkan dirinya dan menyuruh Benja merantau mencari pengalaman selepas
tamat belajar. Benja tahu Mak cuba nak elakkan perhubungan kami sekeluarga
bertambah buruk. Itu semua pengorbanan seorang Mak yang tidak difahami sesiapapun kala itu.
Berkat kesabaran Mak, Ayah kembali kepada
pangkuan keluarga. Kesihatannya semakin pulih selepas pembedahan kedua. Waktu itu
Along pula dah nak mendirikan rumah tangga. Tak lama selepas itu, Benja pula mendirikan rumah tangga. Tinggallah Aku dan Ude di rumah. Kemuncak kejadian itu, Ayah
melafazkan cerai untuk isteri keduanya. Ayah mungkin tersedar akan kesilapannya
dahulu dan cuba menjernihkan kembali hubungan kami sekeluarga dengan Mak, Along
dan Benja.
Semakin kami dewasa kami dapat lihat dan rasakan
perubahan Ayah. Ayah bukan lagi Ayah yang tidak boleh dibawa berbincang, yang
mudah melenting, yang mudah memaki hamun marah-marah. Ayah menjadi seorang yang
sangat berdiplomasi, senang di bawa berbincang dan penuh dengan gurau tawa. Aku
menyaksikan sendiri perubahan Ayah, ketika Ude juga tiada lagi di rumah kerana
menyambung pengajiaannya di UiTM Melaka. Tinggallah Aku, Mak dan Ayah. Kami
jadi Geng Bola, Geng tengok Cerita Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Geng
bersembang petang-petang, Geng mengopi, Geng Wrestling. Akulah anak perempuan Ayah,
aku juga anak lelaki Ayah. Dan aku menyaksikan sendiri kesusahan Ayah nak bina
kembali keluarga kami. Ayah besarkan rumah dan bina rumah kami sendiri dengan
tulang empat keratnya. Nak bagi keselesaan untuk anak cucu bila balik kampung. Aku
dapat rasakan Ayah nak tebus kesalahan masa lalu sewaktu dia sibuk dengan
keluarga keduanya dan melupai kami.
Syukur pada Allah, Aku juga dapat
melanjutkan pengajian ke universiti. Biarpun pada awalnya masyarakat, jiran
tentangga mengata keluarga kami yang pecah-belah, menyusahkan, berkecamuk dan
terbiar. Tapi semua anak-anak Ayah berjaya dari segi pendidikan dan kerjaya. Dikalangan
orang kampung, Ayah dapat menghantar tiga orang anaknya ke Universiti. Orang yang
dahulunya mengata, mengutuk Ayah pun tiada rekod kejayaan seperti Ayah.
Kalaulah kejayaan itu dilihat dari segi pelajaran. Tapi bukan!
Kejayaan itu lebih kepada memperbaiki
hubungan kekeluargaan. Kembali kepada fitrah, kembali kepada Allah. Kejayaan
akhirat! Aku lihat bagaimana Ayah pacu kehidupannya. Ya, Ayah pernah tersasar!
Tetapi Ayah kembali semula. Berusaha membina kembali keluarga kami, memberikan
pendidikan yang terbaik Duniawi dan Ukhrawi. Menyulam kasih sayang agar kami
bersatu hati. Bagaimana Along dan Benja menjadi tunggak dibelakang Mak. Dan kami
adik-adik seboleh-bolehnya tak nak tambah bebanan Mak. Sesungguhnya sukar nak
gambarkan keadaan kami dahulu. Kerana pastinya air mata ini tumpah bila
teringatkan peristiwa dahulu.
Tapi Allah itu Maha Besar, Maha
Mengasihani dan Maha Penyayang. Allah pulangkan Ayah kami, Allah pulangkan
kebahagiaan keluarga kami. Walaupun dugaan itu tidak berakhir di situ,
macam-macam perkara lagi terjadi, tetapi tugas Ayah dah Allah tamatkan dahulu. Tiada
dendam, tiada apa yang terbuku dihati kami. Kerana itu, kami tetap bersatu.
Ayah dan Mak dah berjaya didik kami semua. Allah jadi saksi!
Dah aku katakan tadi, dugaan itu tak
berakhir di sini. Selepas ketiadaan Ayah, kami diuji lagi. Dengan pelbagai
ujian bertimpa-timpa. Dan buktinya kami pernah terpisah kerana kerja jahat
orang lain yang cemburu melihat hubungan kami.
Tapi Allah itu Maha Berkuasa ke atas
setiap sesuatu. Mungkin ada hikmahnya setiap perkara yang berlaku, ujian itu
pasti akan hadir lagi.
Alhamdulillah, thumma Alhamdulillah. Berkat
Ramadhan, mempertemukan kembali anak-anak Ayah dan Mak yang terpisah. Berkat
kesabaran dan doa yang tak pernah putus. Allah mempertemukan kita semua semula.
Syukur.
Dulu pernah seorang dari kita hilang dari
pandangan, tapi Allah pulangkan kembali ke pangkuan kita. Kemudian, seorang
lagi anak Ayah hilang jejak. Tapi Allah datangkan hidayah kepadanya, menjentik
hatinya yang jauh dari keluarga untuk kembali semula. Ada antara kita yang
menjauh hati, Allah dekatkan semula. Ada orang menghasut anak Ayah agar
membenci adik-beradiknya, tapi Allah datangkan peristiwa, dan anak Ayah jadi
lebih rapat berbanding sebelumnya. Subhanallah. Macam-macam ujian dah jadi pada
kita, Allah jualah yang mengatur semuanya.
Sesuatu yang tak pernah dirancang tahun
ini. 4 orang anak-anak ayah serta menantu dan cucu berkumpul hari ini, di
akhir Ramadhan ini. Kami bercakap dari hati ke hati. Sesungguhnya penyatuan ini
bakal dicemburui. Tetapi tak mengapalah, kami dah lali.
Orang
cemburu kerana dia tidak punya apa yang kami punyai. Kasih-sayang Lillahi Taa’la.
Walaupun
kita bukan lagi di kampung mengenang zaman indah masa lalu, tapi walau dimana
pun kita berada, semangat ayah sentiasa ada. Nasihat ayah tersemat didada. Ayah
selalu pesan, adik-beradik mesti bersatu, jangan bergaduh, jangan putus hubungan
kalau ayah dah tiada. Jagakan Mak. Mak dah banyak bersusah untuk kita.😢 Kalaulah ayah ada lagi alangkah gembiranya hati ini.
I miss you Ayah. We really miss you...😭
Ayah, tengoklah
ni. Kami masih bersama.
InsyaAllah hubungan ini akan kami jaga sehingga hujung
nyawa.
Semoga
kita semua bertemu kembali di Syurga.
Al-Fatihah to my beloved Ayah
~Tn Hj
Idris bin Salleh~
1946 - 2007



No comments:
Post a Comment