Tuesday, May 21, 2019

Ramadhan Terakhir ~ Kematian Yang Dicemburui

Assalamualaikum wbt,
Salam 16 Ramadhan 💜


Alhamdulillah masih bernyawa ketika menaip post dalam blog suam - suam kuku ni. Diam tak diam, kita sudah menghampiri 1/2 bulan Ramadhan. Cepatnya masa berlalu. Rasanya masih banyak perkara yang masih belum dapat kita lakukan. Mana nak kejar solat sunatnya, mana tadarus Al-Qurannya, mana sedekah jariahnya? Masih banyak yang perlu diperbaiki. Dalam pada masa yang sama, pelik juga kerana hati ni kadang-kadang lalai. Boleh pulak lalai nak kaut ibadah sepanjang bulan ni? Bukannya lama pun, sebulan je. Kadang lupa pada kewajipan, kadang lupa pada masa dan waktu due date kita? Adakah kita lupa, semua kita ade due date masing-masing. Masa untuk pulang ke alam abadi. Adakah kita bersedia bila dipanggil nanti? Semua orang akan pulang, pulang bersedia atau tiba-tiba. Sehingga kita tak sangka, kita sudah mati akhirnya. Nauzubillah, janganlah sampai begitu.

Paling tidak kita sedar, kita boleh mati bila-bila masa saja. Aku perlukan Allah supaya ingatkan aku. Masih banyak perkara yang aku tak buat lagi. Allah, lemahnya aku. Tariklah aku agar aku dapat buat kebaikkan. Kuatkan aku agar aku dapat beribadah dengan khusyuk dan tawadduk. Kuatkan aku untuk berdoa, memohon ampunMu. Memohon redhaMu. Tiada apa lagi yang lebih berharga dalam hidup kita kecuali mendapat redha Allah di dunia dan akhirat. 

Setiap Ramadhan, pastinya ada insan-insan terpilih yang Allah jemput untuk bertemuNya. Alangkah untungnya sesiapa yang meninggal di bulan Ramadhan. Aku juga berkeinginan di jemput Allah pada bulan yang mulia ini. Tapi layakkah aku? 

Di Malaysia, kita baru dikejutkan dengan berita pemergian Usahawan Kosmetik terkenal Allahyarhamah Hjh Faziani Rohban Ahmad yang terkorban dalam nahas jalan raya di Pattani. Umum mengetahui Allahyarham pergi ke sana atas urusan pembayaran zakat. Allahuarkbar, meninggal dalam perjalan berbuat ibadah, di bulan Ramadhan, baru balik dari mengerjakan umrah sebagai tetamu Allah. Terus Allah jemput dia pulang di dalam bulan Ramadhan ini. Kita yang tak berapa kenal pun terus menjadikan cerita kematian Allahyarhamah ini sebagai pengajaran. Boleh cari harta, asalkan tak lupa tanggungjawap membantu orang yang lebih susah. Itulah ladang pahala yang besar untuk orang-orang yang berharta. Apatah lagi orang biasa macam kita. Subhanallah, Syurgalah tempatnya.


Tak lama selepas itu, kita pula mendengar berita pemergian anak muda hebat yang dikagumi dan disayangi orang yang tidak mengenalinya pun. Allahyarham Chef Celebriti Adam Mahamed Ismail atau lebih dikenali sebagai Adamdidam yang meruntun hati ramai kita. Bapa saudara yang terkenal dengan celotehnya bersama anak-anak buah tersayang begitu mencuit hati ramai orang. Terpampang keikhlasan dan kasih sayang yang begitu dalam untuk anak buahnya yang tinggal jauh di luar negara di UK. Menurut keluarga terdekat, Allahyarham meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru. Kita tahu Allah lebih menyayangi Mamajee mereka. Hidup dalam kebaikan, mendapat redha Ayah dan Ibu, tiada apa yang menghalang Syurga buat dia, insyaAllah.


Dua figura yang sangat dikenali, bahkan aku juga follower kedua-dua mereka ini. Kematian mereka sangat indah. Malah sangat dicemburui. Semoga kita belajar dari kisah ini. Setiap tahun pasti akan ada berita kematian yang indah buat pengajaran kita semua.

Hari ini kita mendengar berita kematian orang, esok-esok berita kematian kita pula yang didengari. Semoga kita sudah bersedia saat tibanya nanti.

Wallahua'lam. Al-Fatihah.
~Moonlightlady~ @ Bakal Jenazah

No comments: