Tuesday, June 5, 2018

Coretan Ramadhan Ke-20 ~ La Tahzan Bagi Muslimah Yang Keuzuran di Kala 10 Terakhir Ramadhan.

Entri kali ini khusus buat para saudara muslimahku.

La Tahzan Bagi Muslimah Yang Keuzuran di kala 10 Terakhir Ramadhan. Jangan bersedih, Allah tak kejam. Semua perkara sudah di tetapkan. Redhakanlah.



Untuk yang saban tahun merasakan (akulah tu) memang terkilan. Mula-mula dulu rasa macam Allah tak sayang ke? Allah tak bagi peluang? Nauzubillah, sampai macam tu fikir.
Ada cuma beberapakali sahaja aku kena (haidh) dipertengahan Ramadhan, jadi dapatlah menempuh 10 terakhir Ramadhan itu. Dahulu masa zaman lagho muda-mudi, waktu-waktu ni lah dah jarang beribadah, sibuk buat persiapan raya, dah dengar lagu raya like all the times, dalam bilik, dalam kereta. Langsung tak rasa terjentik hati ni akan ruginya Ramadhan kali itu. Budget macam ada beratus tahun lagi boleh hidup. Nauzubillah.

Bila makin berusia dan matang, aku mula melihat Ramadhan dari sudut yang berbeza. Namun, iman ni kadang tinggi, kadang rendah. Nak konsisten itu lah yang payah. Istiqomah? Itulah cabaran sebenar. Sehinggakan kadang-kadang rasa diri ni hipokrit menjadi baik kala Ramadhan, menjaga aurat, pandangan, mulut dan pemikiran sebaik mungkin. Tapi kalau di hari dan di bulan lain tiberrr nak acah-acah baik. Tapi tidak mengapa, bagiku Ramadhan itu madrasah, sekolah akhlak untuk kita belajar dan praktikkan disepanjang tahun. Biar orang kata plastik, acah-acah tapi kelakuan itulah yang Allah suka. Lambat laun kita akan terbiasa dan berdoalah supaya Allah lihat dan terima amalan kita walaupun kita paksa pada mulanya. 

Berbalik pada muslimah yang dilanda keuzuran kala Ramadhan dan lebih-lebih lagi di 10 malam terakhir. Walaupun Allah memberi ‘cuti’, kita tidak dibolehkan puasa dan solat, namun ia tidak bererti kita tidak boleh melakukan sebarang amalan atau ibadat yang  boleh menambahkan lagi pahala kita, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan yang segala amalan dilipat gandakan pahalanya.

Dipetik dari blog http://abuanasmadani.blogspot.com 


Banyak lagi amalan-amalan yang dicintai oleh Allah SWT serta ibadah sunnah lainnya yang dianjurkan yang dapat dilakukan diantaranya: 

1) Menyediakan dan memberi iftor (hidangan berbuka).
Menyediakan makanan kepada orang-orang yang puasa samada anggota keluarga ataupun saudara-saudara umat Islam. Iftor adalah amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW, kerana mengandung pahala yang besar dan kebaikan yang berlimpah.

Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang memberi iftor (hidangan untuk berbuka) orang-orang yang puasa/berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang puasa/berpuasa tanpa dikurangi sedikitpun". [H.R. Bukhari dan Muslim].

Jika tidak mampu dari segi kewangan, tolonglah ibu atau kakak di dapur untuk menyediakan hidangan berbuka bagi keluarga. Juga memberi sumbangan tenaga menolong di tempat-tempat yang menganjurkan jamuan berbuka puasa seperti di masjid-masjid atau surau berdekatan.

2) Menyediakan Makanan Sahur.
Menyediakan makanan sahur kepada anggota keluarga ataupun saudara-saudara Islam lain juga satu ibadat yang tidak kurang besar pahala dan faedahnya. Selain memberi makan kepada orang lain, ia juga memberi kita peluang untuk turut menghidupkan waktu sahur serta qiyamullail. Walaupun tidak dapat bersolat masih banyak lagi ibadat lain yang dapat kita lakukan.

Sabda Rasulullah SAW:
Ertinya: "Allah turun ke langit dunia, ketika malam telah tinggal sepertiga yang akhir. Maka Allah berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka Aku perkenankan doanya. Sesiapa yang minta ampun kepada-Ku, maka Aku ampuni dia." (HR. Bukhârî dan Muslim).

Dan Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Pada waktu malam, sesungguhnya ada suatu saat, dimana jika seseorang Muslim memohon kepada Allah suatu kebajikan dunia dan akhirat ketika itu, niscaya Allah mengabulkannya." (HR. Muslim).

Bagi kaum ibu yang sudah menjadi tugasan wajib bangun untuk menyediakan juadah sahur serta mengejutkan keluarga, anak-anak dan bapanya, maka ambillah kesempatan itu untuk turut bersama berdoa, beristighfar dan berzikir mengingati Allah.

Anak-anak gadis pun bangunlah untuk menolong ibu di dapur lalu memberi peluang kepada mereka yang tidak ‘cuti’ beribadat lebih lama, serta mengambil peluang waktu mustajab itu untuk turut berdoa dan berzikir, bukan hanya meneruskan tidur tanpa apa-apa input yang berfaedah! Bahkan setengah tu siap berpesan: “Mak malam ni tak payah kejut sahur, saya cuti??!!” Bukankah ini amat merugikan? Korbanlah masa tidur untuk sepuluh malam terakhir yang entah bila lagi kita akan sempat laluinya.

3) Menjauhi Larangan Agama.
Kita hendaklah bijak memanfaatkan setiap detik ketika bulan Ramadhan walaupun ketika sedang haidh, dan terhalang menunaikan puasa masih mendapat pahala iaitu dengan berusaha menjauhi segala yang dilarang oleh agama,dan berusaha menjaga lidah dari mengeluarkan kata-kata buruk seperti berdusta, mengumpat dan seumpamanya. Bahkan sentiasa membasahinya dengan sesuatu yang berfaedah dan memberi pahala.

Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa tidak meninggalkan perkataan zurr (dusta, mengumpat, ghibah) maka tiada artinya di sisi ALLAH baginya puasa dari makan dan minum" . [HR Bukhari].
Jangan kerana tidak puasa, bukan hanya meninggalkan ibadat tetapi terus leka menonton tv, mendengar lagu-lagu yang tidak elok, surfing internet tanpa manfaat dan seumpamanya. Jadi kita juga harus menjaga mata, telinga dan seluruh anggota kita yang lain daripada menjadi penyumbang dosa dan pengikis pahala pula!!! 

4) Banyakkan Berdoa dan Berzikir Sepanjang Hari.
Berdoa di bulan Ramadhan adalah sangat mustajab, dan sangat digalakkan, maka manfaatkan waktu dengan sentiasa berdoa dan bezikir setiap masa.

Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada kaum membaca Kitab Allah (berzikir kepada ALLAH) kecuali mereka di kelilingi oleh malaikat-malaikat, di liputi oleh Rahmat, turun kepada mereka ketenteraman, dan ALLAH menyebut mereka sebagai orang-orang yang di sisi-Nya.” [HR. Muslim].

Walau tidak solat, kita boleh berdoa pada bila-bila masa saja terutamanya pada waktu yang mustajab seperti ketika sesudah azan dan pada waktu sahur. Kerana itu bangunlah pada waktu sahur walupun ‘cuti’.

5) Mengingatkan anggota keluarga kepada kebaikan.
Samada suami/anak/saudara lelaki agar sentiasa solat berjamaah di masjid. Juga solat sunat terutama solat terawih, sunat dhuha dan solat sunat qiyamul lail.
Juga dengan memberi peluang kepada ibu/saudara/kawan yang mempunyai anak kecil dan jarang berpeluang ke masjid untuk bersolat terawih dengan menawarkan diri untuk menjaga anak mereka semasa waktu terawih.

Rasulullah SAW bersabda:
“Dan jikalau mereka mengetahui apa-apa yang ada dalam solat Isya’ dan Subuh nescaya mereka mendatangi keduanya bahkan mereka akan mencintainya.” [HR. Bukhari]
“Berikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang berjalan bersama-sama ke masjid di kegelapan dengan cahaya yang sempurna pada hari akhir nanti.” [H.R At Tirmizi].

Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang solat Subuh berjamaah,lalu duduk berzikir kepada Allah Subhanu wa Ta’ala hingga terbit matahari,kemudian solat dhuha dua rakaat,maka untuknya pahala haji dan umrah, yang sempurna, yang sempurna, yang sempurna .” (HR. At Tirmizi)
“Hendaklah kamu mendirikan qiyamul lail, kerana dia adalah amalan orang-orang soleh sebelum kamu, jalan untuk mendekatkan pada Tuhan kamu, penghapus dosa-dosa, pencegah maksiat, dan penolak masuknya penyakit ke badan”. (HR. At Tirmizi).

6) Menyibukkan diri menuntut Ilmu yang Manfaat. 

Kita juga boleh menambah atau menyampaikan ilmu samada dengan menghadiri kuliah, mendengar ceramah agama, membaca buku-buku ilmiah, nendengar bacaan al-Quran atau membaca tafsiran al-Quran dan sebagainya yang dapat menambahkan amal kebajikan dan manfaat diri.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa menempuh suatu jalan untuk menuntut Ilmu, nescaya Allah SWT menunjukkan jalan menuju Syurga Baginya”. (H.R. Muslim)


7) Banyak Bersedekah dan derma.
Meningkatkan amalan kebajikan seperti bersedekah, berderma dan seumpamanya.
Ibnu Abbas ra berkata: “Rasulullah SAW adalah manusia yang sangat pemurah dan Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan... dan Baginda SAW lebih pemurah dalam kebaikan daripada angin yang kencang.” [HR: Al-Bukhari]

Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk bersedekah mengikut kemampuan masing-masing. Sabda Nabi SAW:

 اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ)) البخاري

Maksudnya: “Takutilah api neraka walaupun dengan (bersedekah) sebelah tamar”. [HR: Al-Bukhari].
Imam asy-Syafie berkata: “Aku suka jika seseorang bertambah pemurah pada bulan Ramadhan kerana ia mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW, kerana ketika itu manusia berhajat kepada bantuan untuk keperluan mereka. Ini kerana manusia sibukdengan puasa dan solat (ibadat) berbanding pekerjaan masing-masing”.

Kaum wanita yang mempunyai kemampuan masih berpeluang berderma dan bersedekah pada waktu ini.

Kesimpulan:
Sebenarnya terlalu banyak lagi kebaikan dan ibadat yang dapat kita lakukan, tinggal hendak atau tidak sahaja!!!
Dengan niat yang baik dan keikhlasan kita ingin beribadat, serta kita pun telah menunjukkan kesungguhan dari awal Ramadhan lagi; iaitu telah melakukan segala ibadat sebaik mungkin ketika mampu dan boleh melakukannya, insya’Allah kita akan dapat mencapai pahala pada malam Lailatul Qadar dengan sepenuh dan sebanyak mungkin sama seperti yang tidak uzur (samada uzur Syar’ie atau uzur tubuh badan).
Sebagaimana hadis ini:

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ فِي غَزَاةٍ فَقَالَ إِنَّ أَقْوَامًا بِالْمَدِينَةِ خَلْفَنَا مَا سَلَكْنَا شِعْبًا وَلَا وَادِيًا إِلَّا وَهُمْ مَعَنَا فِيهِ حَبَسَهُمْ الْعُذْرُ. صحيح البخاري

Dari Anas RA, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda semasa pulang dari peperangan Tabuk: “Sesungguhnya terdapat di Madinah sekumpulan lelaki yang kita tinggalkan, namun setiap bukit yang kita daki, setiap lembah yang kita rentasi, mereka tetap bersama kita dalam perjalanan. Mereka terhalang (untuk ikut serta) oleh keuzuran.” [HR Bukhari]. 

Mudah-mudahan memberi manfaat buat semua, khususnya para muslimah diluar sana. Semoga Allah SWT sentiasa memberi kita hidayah dan kekuataan untuk sentiasa istiqamah di dalam ibadat dan keredhaan-Nya, amin.

No comments: